Responsive Ad Slot

Guru SK Kampung Acheh ajar murid dengan bantuan robot


Pekan: Lima robot pintar yang dibangunkan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Acheh di sini, digunakan bagi menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bulan lalu.

Robot yang dihasilkan menggunakan komponen lego dan turut meraih beberapa kejayaan pada pertandingan peringkat negeri serta kebangsaan memiliki kemampuan menulis, mewarna, melukis selain bertutur.

Guru Besar SK Kampung Acheh Salmiah Abdul Manan berkata, penggunaan robot ketika mengajar bukan sahaja menghiburkan murid tetapi lebih penting menghasilkan bentuk pendidikan dianggap istimewa.

"Murid prasekolah dan tahun satu begitu teruja setiap kali dapat belajar dengan bertemankan robot pintar.

"Kemahiran guru menambah lagi minat murid untuk belajar setiap kali sesi PdPR dijalankan di kediaman mereka," katanya.

Menurut Salmiah, guru yang ditugaskan untuk menjalankan aktiviti PdPR di 10 rumah penduduk Kampung Acheh akan membawa robot termasuk komputer riba menggunakan perisian pendidikan yang disediakan Kementerian Pendidikan.

"Kami dapati minat murid prasekolah dan tahun satu untuk belajar bertambah dua hingga tiga kali ganda apabila dapat belajar bersama robot, murid boleh menerima dengan mudah apabila robot mengajar mereka.

"Selain boleh menulis huruf A hingga Z, robot berharga RM3,000 seunit itu turut boleh mewarna, melukis, bertutur serta bergerak mengikut apa yang diprogramkan," katanya.

Salmiah berkata, sebelum ini pihak sekolah turut menggunakan modul PdPR yang diserahkan oleh guru kepada semua 81 murid daripada 35 keluarga.

Penjaga kemudiannya akan menghantar kertas latihan ke sekolah selepas murid menyiapkan latihan berkenaan.

Menurut Salmiah, SK Kampung Acheh adalah Sekolah Kluster Kecemerlangan dan pihaknya menerima peruntukan RM100,000 daripada Kementerian Pendidikan untuk pembangunan program permainan catur, robotik dan inovasi.

"Sekolah bertuah mempunyai barisan 11 guru yang begitu komited dengan tugas PdPR, mereka turun padang setiap minggu tanpa sebarang masalah dalam menggalas tanggungjawab diberikan," katanya.

Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran Mazni Mohamed @ Ibrahim berkata, kemahiran yang ada menjadi kelebihan kepadanya menggunakan robot pintar untuk aktiviti PdPR.

Katanya, aktiviti mengajar di rumah murid pula mengambil masa sejam hingga dua jam.

"Saya bangunkan lima robot sejak 2016. Sambil bermain, murid prasekolah dan tahun satu turut dapat belajar membaca, mengira, mewarna dan menulis," katanya yang mengajar mata pelajaran sains.

Menurut beliau, untuk memastikan murid tidak tercicir dalam pelajaran, aktiviti mengajar tetap perlu dijalankan walaupun perlu berkunjung ke rumah murid pada setiap minggu.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/02/671856/guru-sk-kampung-acheh-ajar-murid-dengan-bantuan-robot

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo