Responsive Ad Slot

Sudah Masanya Malaysia Ditadbir Oleh Muka dan Generasi Baru

KOTA KINABALU - Sudah tiba masanya Malaysia ditadbir oleh wajah baharu dan pemimpin muda yang mampu membina negara yang lebih baik, kata Timbalan Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Ismail Ayub.

Berkata berkata, ini juga masa untuk Malaysia keluar dari cara pemikiran lama.

"Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ada menjelaskan ketika ditemubual oleh ISEAS-Yusof Ishak Institute tentang perkara ini bahawa Malaysia tidak boleh lagi dikawal oleh pemimpin yang sama.

"Sudah tiba masanya Malaysia keluar dari cara pemikiran lama. Cukup dengan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim), cukup dengan Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, pembangkang perlu memberi gambaran jelas kepada rakyat bahawa kerajaan baharu nanti dibarisi oleh pemimpin yang memperjuangkan kesatuan dan mempunyai visi jelas mentadbir negara dengan amalan pentadbiran bersih berbanding terdahulu.

"Kita tidak boleh menafikan pembangunan yang dibawa pemimpin terdahulu, namun kita perlu keluar dari kepompong pemikiran lama dan bergerak ke depan sebagai satu bangsa Malaysia yang ditadbir berlandaskan Perlembagaan," katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, ketika ini tiada keperluan untuk barisan pembangkang menyediakan Kabinet bayangan ketika rakyat berdepan dengan kesukaran akibat daripada pandemik Covid-19.

"Sekarang bukan masanya untuk terus berpolitik sebaliknya fokus untuk membantu rakyat dalam aspek ekonomi dan kesihatan.

"Dalam berdepan dengan pandemik Covid-19 dan kelemahan pentadbiran kerajaan Persekutuan kini, pembangkang perlu memainkan peranan sebagai semak dan imbang," katanya.

Baru-baru ini, Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau meminta Anwar sebagai Ketua Pembangkang untuk membentuk Kabinet bayangan sebagai alternatif kepada rakyat Malaysia.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/119054/BERITA/Politik/Sudah-tiba-masa-Malaysia-ditadbir-wajah-baharu

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo