NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Proklamasi Darurat tidak cabuli hak asasi rakyat - Sri Ram

Oleh N.Sevagamy


KUALA LUMPUR, 15 Jan -- Pengisytiharan darurat untuk membendung penularan pandemik COVID-19 tidak mencabuli hak asasi rakyat dan pelaksanaan perintah itu berperlembagaan, kata bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram. 

Bagaimanapun katanya ordinan yang dimasyhurkan di bawah darurat boleh dicabar di mahkamah jika undang-undang itu melanggar kebebasan fundamental.

“Ordinan boleh dicabar kerana hak fundamental merupakan perkara asas dan membentuk sebahagian daripada struktur dasar perlembagaan negara,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Sri Ram berkata alasan perisytiharan darurat itu terkandung dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 150 (1) itu memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika baginda berpuas hati suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam persekutuan terancam.


Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19.

Sri Ram berkata walaupun pelaksanaan darurat berperlembagaan menurut Perkara 150, perintah itu boleh dicabar jika seseorang mempunyai bukti kukuh pengisytiharan dibuat dengan niat tidak baik. 

“Mahkamah mempunyai kuasa untuk mengarahkan kabinet menasihati Yang di-Pertuan Agong agar menarik balik darurat. Sebarang tindakan eksekutif boleh dicabar atas alasan undang-undang dan perlembagaan. Satu contoh alasan undang-undang ialah eksekutif mengambil kira perkara yang tidak relevan, iaitu yang di luar peruntukan Perkara 150.


“Alasan lain ialah pengisytiharan dilakukan dengan niat jahat atau untuk tujuan yang tidak betul. Contohnya, kes Majlis Perbandaran Sydney v Campbell. Dalam kes ini, pihak berkuasa tempatan diberi kuasa untuk memperoleh tanah bagi tujuan umum. Tetapi ia memperoleh tanah untuk membina simpanan tanah. Itu adalah tujuan kolateral. Tetapi mesti ada bukti meyakinkan yang membolehkan mahkamah menyimpulkan niat jahat atau tujuan tidak wajar,” katanya.

Sri Ram menegaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa untuk melanjutkan pelaksanaan darurat selepas 1 Ogos jika Seri Paduka memikirkan langkah itu perlu bagi negara.

“Perkara 150 (8)(b)(ii) menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk membuat keputusan mengenai pelanjutan Proklamasi Darurat dan kesahan keputusan baginda tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah,” katanya.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo