NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penurunan gangguan politik, pasaran saham ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Maklumat jelas mengenai prokalamasi darurat yang mana hanya tertumpu kepada peringkat pentadbiran, menyaksikan kemasukan semula pelabur dalam pasaran saham, sekali gus menyaksikan indeks utama ditutup 1.53 peratus lebih tinggi.

Minat pelabur terhadap Bursa Malaysia terus meraih momentum, pada hari pertama pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) dengan apabila petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 24.65 mata kepada 1,636.69 berbanding paras penutup 1,612.04 pada Selasa.

Penganalisis berkata, pada umumnya, sentimen pasaran bertambah baik adalah susulan proklamasi darurat di peringkat pentadbiran, dijangka akan mengurangkan gangguan pembentukan dasar ketika negara berdepan peningkatan penularan COVID-19.

Kata mereka, kenaikan pasaran saham semalam juga disokong kekukuhan komoditi utama negara iaitu harga minyak yang terus berlegar di atas paras AS$56 setong.

Indeks itu dibuka tinggi naik 5.64 mata kepada 1,617.68 dan bergerak antara paras 1,617.68 dan 1,637.10.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 949 berbanding 348, manakala 309 kaunter tidak berubah, 493 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Bagaimanapun, jumlah dagangan susut kepada 7.12 bilion unit bernilai RM5.11 bilion daripada 8.41 bilion unit bernilai RM5.76 bilion pada Selasa.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata pelabur nampaknya tidak bimbang dengan pelaksanaan PKP 2.0 dan darurat memandangkan sekatan yang dikenakan tidak seketat seperti sebelum ini.

"Juga penggantungan parlimen bermakna penggubal dasar akan dapat lebih menumpukan kepada menambah baik ekonomi daripada terpaksa berdepan dengan perbezaan politik," katanya kepada Bernama.

Adam berkata, peningkatan saham perbankan membantu meningkatkan Indeks Perkhidmatan Kewangan Bursa Malaysia sebanyak 3.5 peratus namun penurunan kaunter penjagaan kesihatan dan sarung tangan getah telah menyebabkan sektor penjagaan kesihatan Bursa Malaysia susut sedikit sebanyak 0.1 peratus.

Beliau tidak menolak sebarang kemungkinan berlaku aktiviti jualan singkat dalam kaunter sarung tangan getah dan penjagaan kesihatan memandangkan persekitaran jualan pantas ketika ini.

Dalam pasaran minyak, aliran meningkat berterusan selepas American Petroleum Institute melaporkan pengeluaran besar inventori minyak mentah sebanyak 5.821 juta tong bagi minggu yang berakhir pada 8 Januari berbanding 1.661 juta tong pada minggu sebelumnya.

Kaunter perbankan menerajui kaunter wajaran tinggi dengan Public Bank melonjak RM1.32 kepda RM21.40, Maybank naik 30 sen kepada RM8.30, CIMB meningkat 15 sen kepada RM4.07 dan RHB Bank menokok 14 sen kepada RM5.47.

Bagaimanapun, IHH susut 10 sen kepada RM5.45, Top Glove turun lima sen kepada RM6.63, Hartalega jatuh 14 sen kepada RM13 dan Supermax berkurangan 19 sen kepada RM7.11.

Dalam kalangan kaunter cergas, Kanger International naik 1.5 sen kepada 15 sen, Metronic meningkat 11 sen manakala PNEPCB dan Yong Tai menokok setengah sen setiap satu masing-masing kepada 63 sen dan 30 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 196.70 mata kepada 11,748.76, Indeks FBMT 100 meningkat 190.01 mata kepada 11,490.25 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 95.15 mata kepada 13,254.98.

FBM 70 naik 311.49 mata kepada 14,821.08 dan FBM ACE meningkat 188.54 mata kepada 10,692.03.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 519.23 mata kepada 15,065.74, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 2.58 mata kepada 175.54 dan Indeks Perladangan naik 20.68 mata kepada 7,483,12.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 4.76 bilion saham bernilai RM4.43 bilion daripada 5.17 bilion saham bernilai RM4.74 bilion.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 500.21 unit bernilai RM81.51 juta berbanding 537.39 juta unit bernilai RM81 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE jatuh kepada 1.86 bilion saham bernilai RM592.77 juta daripada 2.7 bilion saham bernilai RM939.38 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 513.47 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.89 bilion), pembinaan (238.91 juta), teknologi (373.91 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (11757.19 juta), hartanah (380.92 juta), perladangan (117.33 juta), REITs (13.31 juta), dana tertutup (16,300), tenaga (629.16 juta), penjagaan kesihatan (105.78 juta), telekomunikasi dan media (80.11 juta), pengangkutan dan logistik (261.84 juta) dan utiliti (37.33 juta).

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo