NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kanser Perut




Kanser perut berlaku apabila sel-sel di bahagian dinding perut manusia tumbuh secara tidak normal dan tidak terkawal mengakibatkan berlakunya ketumbuhan di bahagian perut. Kebanyakan mereka yang menghidap kanser perut ini adalah terdiri daripada golongan yang berumur lebih daripada 65 tahun ke atas dan lebih kerap terjadi di kalangan lelaki berbanding wanita.

Sekiranya kanser ini dikesan pada peringkat awal, peluang untuk pesakit sembuh sepenuhnya adalah tinggi. Malangnya kebanyakan kanser perut ini gagal untuk dikesan pada peringkat awal kerana gejala-gejala awal kurang dirasai oleh pesakit dan diagnosis kerap dibuat pada peringkat lanjut. Kanser perut menjadi sukar dirawat apabila sel-sel kanser telah merebak ke bahagian badan yang lain.

FAKTOR RISIKO

1. Jantina. Lelaki adalah lebih berisiko untuk mendapat kanser perut berbanding dengan wanita.

2. Usia. Mereka yang berumur 60 tahun ke atas lebih berisiko untuk mendapat kanser perut.

3. Keturunan. Sekiranya terdapat penghidap kanser perut dalam kalangan ahli keluarga terdekat, risiko keturunannya untuk mendapat penyakit yang sama adalah lebih tinggi.

4. Merokok. Tabiat ini turut menjadi penyebab bagi peningkatan risiko kanser perut kerana kandungannya merupakan bahan karsinogenik.

5. Jangkitan Helicobacter pylori. Bakteria ini sering ditemui pada seseorang yang menghidap penyakit gastritis. Jika dibiarkan tanpa rawatan, jangkitan ini mungkin boleh berlarutan sehingga menyebabkan kanser.

6. Diet. Pengambilan makanan yang telah disalai, dijeruk, atau diasinkan (contohnya ikan salai, sayur jeruk) dengan kerap boleh meningkatkan risiko untuk mendapat kanser perut.

GEJALA KANSER PERUT

Kanser perut merupakan sejenis kanser yang mengambil masa yang lama untuk terjadi dan kadang kala mengambil masa selama beberapa tahun. Sebelum terjadinya kanser ini pesakit mungkin mengalami beberapa gejala-gejala tertentu, akan tetapi pada kebiasaannya pesakit tidak mempunyai sebarang gejala pada peringkat awal. Kadangkala kanser perut dirawat sebagai penyakit yang lain kerana gejala-gejala yang timbul menyerupai penyakit seperti penyakit peptik ulser.

Disebabkan kesukaran untuk mendiagnosa pesakit ini pada peringkat awal, kebanyakan pesakit kanser perut kerap kali disahkan menghidap penyakit ini lewat dan di peringkat yang lanjut di mana kanser perut ini telah merebak ke bahagian badan yang lain.

Antara-antara gejala-gejala kanser perut adalah seperti:

1. Ketidakhadaman
2. Sakit perut
3. Kepedihan di hulu hati
4. Loya dan muntah
5. Kesukaran menelan makanan
6. Kembung perut terutamanya selepas makan
7. Najis berwarna hitam
8. Muntah darah
9. Kurang selera makan
10. Kurang berat badan
11. Keletihan
12. Bengkak pada bahagian perut
13. Bengkak pada kalenjar limfa

RAWATAN

1. Rawatan Pembedahan

Sekiranya pesakit kanser perut masih berada dalam peringkat awal, iaitu ketika kanser masih kecil dan belum merebak sehingga melangkaui dinding perut, doktor boleh menyarankan satu modal rawatan, iaitu ‘Endoscopic Mucosal Resection’ (pembedahan mukosa secara endoskopik).
Sekiranya kanser perut telah membesar dan merebak, doktor boleh mencadangkan pembedahan bagi membuang sebahagian atau keseluruhan perut termasuk tisu yang berada di sekitarnya.

2. Rawatan Radioterapi

Radioterapi diberikan kepada pesakit sama ada sebelum atau selepas pembedahan. Sebelum pembedahan, radioterapi digunakan untuk mengurangkan saiz kanser perut. Sinar riadiasi berkuasa tinggi akan dipancar dan ditumpukan pada bahagian yang terlibat bagi membunuh sel-sel kanser. Selepas pembedahan pula, radioterapi berperanan untuk membunuh sel-sel kanser yang tertinggal.

3. Rawatan Kemoterapi

Rawatan kemoterapi adalah rawatan yang menggunakan ubat-ubatan yang kuat untuk membunuh sel-sel kanser. Rawatan ini juga boleh diberi sebelum atau selepas pembedahan dan sering digabungkan bersama rawatan radioterapi.

Berjumpalah dengan doktor secepat mungkin sekiranya mempunyai apa-apa gejala yang disebut di atas. Bagi pencegahan awal, elakkan makan makanan yang meningkatkan risiko kanser. Makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran dan berhenti dari tabiat buruk seperti merokok atau minum minuman beralkohol dengan berlebihan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo