NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Darurat, Agong buat keputusan tepat

BANGI, 1 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Tindakan Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia disifatkan sebagai langkah tepat.

Keputusan itu wajar dipuji kerana Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meletakkan kepentingan rakyat serta negara mengatasi segala-galanya.

Justeru pelik dan janggal apabila pihak pembangkang mempersoalkan perkara berkenaan walhal Seri Paduka Baginda memperhalusi keputusan itu sedalam-dalamnya.

Atas dasar itu, penganalisis politik, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah menggesa kerakyatan mereka dilucutkan kerana bukan sahaja ingkar titah Baginda, bahkan menghina ketua negara.

“Mereka tidak layak berada di negara ini. Mereka ini sama seperti kumpulan yang mahu menegakkan negara republik.

“Kerakyatan mereka ini terlalu lantang ini wajar dilucutkan. Jika berlaku, satu dua kes sudah cukup untuk mengecutkan ultra kiasu yang mahu menegakkan negara republik ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Prof Ridhuan Tee bagaimanapun tidak pelik dengan tindakan sedemikian kerana sedia maklum, ultra kiasu yang rata-ratanya terdiri daripada pembangkang saban hari menggugut untuk menjatuhkan kerajaan – menggunakan alasan majoriti mudah hasil daripada katak yang melompat.

Katanya, keadaan itu sudah tentu pihak kerajaan tidak dapat fokus untuk menumpukan perhatian kepada agenda pembangunan dan ekonomi negara.

“Lagi pun, YDPA telah bertindak dengan penuh hikmah dalam menangani soal ini. Jelasnya ini bukan keputusan Perdana Menteri, tetapi keputusan YDPA. PM hanya mencadangkan, YDPA berhak dan berkuasa penuh untuk menolak dan kali ini menerima.

“Pertama, menolak cadangan PM pada 25 Oktober 2020 atas alasan kerajaan telah berjaya menangani pandemik COVID-19 dengan berkesan. Kedua, tidak sampai tiga bulan kemudian, pada 12 Januari 2021, setelah memperhalusi permintaan dan cadangan PM, maka YDPA memperkenankan cadangan ini.

“YDPA tidak mahu rakyat menjadi korban. Gajah sama gajah berantakan, pelanduk mati di tengah-tengah. Bermakna, YDPA begitu berhikmah memperhalusi keputusan ini sedalam-dalamnya,” katanya.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Seri Paduka Baginda turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

Bagaimanapun, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAN, Mohamad Sabu dalam kenyataan bersama menganggap undang-undang sedia ada termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah memadai untuk menangani wabak COVID-19.

Menurut kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), kuasa darurat ini bermakna memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri untuk melakukan hampir apa sahaja, sewenang-wenangnya.

Kononnya kata mereka, undang-undang sedia ada, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan adalah mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak tersebut.

Bahkan, hari ini Anwar dilapor mencadangkan semua Ahli Parlimen untuk menghantar surat kepada Agong bagi memohon perkenan Baginda membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Ketua Pembangkang itu berkata, beliau sudah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen supaya mereka berbuat demikian dalam kadar segera.

“Semoga warkah ini nanti mendapat ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik pengisytiharan darurat.

“…dan seterusnya menitahkan agar sidang Parlimen harus diadakan dalam kadar segera sebelum 31 Januari 2021 untuk membahaskan isu darurat, COVID-19 dan kemelut ekonomi yang melanda negara,” katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo