NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dari cetus polemik darurat, lebih baik pembangkang cari jalan tangani kemelut

Oleh Athirah Huda Zalhe 

BANGI, 8 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Tindakan mempertikaikan pengisytiharan Proklamasi Darurat bukanlah langkah wajar yang sepatutnya dilakukan ahli-ahli politik ketika ini. 

Apatah lagi cubaan untuk mencabar keputusan yang telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada minggu lalu, kata Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz. 

Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) itu berkata, adalah lebih baik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli-ahlinya memikirkan jalan untuk membantu rakyat serta negara supaya keluar daripada krisis kesihatan dan kemelut ekonomi. 

“Ini kerana tindakan Anwar dan ahli-ahli pembangkang mempertikaikan darurat sangatlah tidak wajar ketika mana negara sedang berdepan pandemik COVID-19 dan kesannya kepada ekonomi. 

“Sepatutnya pembangkang dan ahli-ahli Parlimen bersama memikirkan jalan menangani kemelut ketika ini,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini. 

Daripada bertindak mempertikai keputusan Yang di-Pertuan Agong, Dr Badhrulhisham berkata, sebaiknya pihak pembangkang mengambil inisiatif menjunjung titah Seri Paduka. 

Bahkan, beliau turut menyarankan pembangkang khususnya Anwar untuk turut serta dalam jawatankuasa darurat yang ditubuhkan bagi memberi pandangan kepada Yang di-Pertuan Agong berbanding mencetuskan polemik serta menyukarkan keadaan. 

“Kepentingan rakyat dan negara perlu diletakkan dihadapan dalam keadaan sekarang ini. 

“Cuma kita mesti pastikan kuasa yang diberikan kepada kerajaan hari ini tidak disalahgunakan dan perlu ada satu mekanisme semak dan imbang dalam apa jua tindakan dan keputusan yang diambil,” katanya. 

Semalam, Anwar dalam satu sidang media mendakwa majoriti Ahli Parlimen pembangkang dan beberapa daripada kerajaan sudah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong. 

Surat itu bagi memohon kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah menilai semula alasan dipersembahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan Proklamasi Darurat. 

Anwar juga mendakwa, Ahli Parlimen terbabit termasuk dirinya memohon Al-Sultan Abdullah mendengar hujah dikemukakan mereka berhubung pengisytiharan darurat itu untuk dipertimbangkan.

Sumber: https://ismaweb.net/2021/01/21/dari-cetus-polemik-darurat-lebih-baik-pembangkang-cari-jalan-tangani-kemelut/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo