NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tindakan PKR Sarawak Dianggap Sudah Terlambat

Tindakan bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Larry Sng yang mahu pemimpin Dayak diangkat menerajui kepimpinan parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 disifatkan terlambat.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Idris Buang berkata, usaha itu hanya akan merencat dan mengeruhkan keadaan menjelang PRN yang dijangka diadakan kurang lapan bulan dari sekarang.

"Tidak hairanlah dengan berita ini, PKR sekarang kucar-kacir, baik di peringkat nasional ataupun Sarawak.

"(Bagi saya) Sudah terlambat untuk mereka mengubah sistem pemerintahan sekarang, kerana pilihan raya (PRN 12) sudah dekat," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Vendor Sarawak Energy (SEVA) 2020 pada Isnin.

BACA: Larry Sng Letak Jawatan Pengerusi PKR Sarawak

Pada Isnin menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya, Larry meminta pimpinan parti di peringkat pusat memilih calon baharu dalam kalangan pemimpin Dayak bagi mengetuai jentera parti itu dalam menghadapi PRN Ke-12.

Larry yang juga Ahli Parlimen Julau berkata, keputusan itu dibuat setelah beliau membuat pertimbangan mendalam.

Dalam perkembangan lain, Idris turut menyifatkan pembangkang tidak bijak untuk mentadbir kerajaan dengan baik kerana mereka hanya memberi tumpuan kepada politik retorik.

"Mereka semua bermain politik retorik, mereka hanya (tahu) mengkritik tetapi mereka tidak tahu bagaimana membina negeri atau negara, mereka hanya tahu untuk mengkritik.

"Lebih mudah untuk mereka mengkritik daripada membuat sesuatu. Itulah sebenarnya PKR dan PH (Pakatan Harapan)," katanya.

- Astro Awani

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo