NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rugi 24 juta Setiap Tahun, Wajarkah Perkhidmatan Feri Pulau Pinang di Kekalkan?

KUALA LUMPUR: Kerugian yang dianggarkan dari operasi pengangkutan ikonik Feri Pulau Pinang adalah dianggarkan RM24 juta setahun.
Penasihat akhbar The Star Datuk Seri Wong Chun Wai dalam kolum mingguannya On The Beat berkata, secara purata, selain isu bilangan penumpang yang semakin menurun setiap tahun, usia feri berkenaan juga perlu dilihat dengan mendalam kerana ia sudah menjangkau 47 tahun.

Ujarnya yang juga anak jati Pulau Pinang, beliau telah dimaklumkan perkhidmatan akan tergendala sekurang-kurangnya sekali sebulan, dan kebanyakan alat ganti harus diperolehi dari Eropah.

“Prasarana Malaysia Bhd telah diletakkan dalam keadaan sukar disebabkan perkhidmatan yang tidak menjana pendapatan ini. Mereka berkata, kos perkhidmatan feri setahun sebanyak RM13.7 juta setahun, tetapi kutipan tiket hanya RM7 juta setahun.

“Prasarana telah pun menanggung RM24 juta setahun sejak ia mengambil alih perkhidmatan feri berkenaan dari Penang Port Sdn Bhd pada 2018,” katanya lagi.
Sebelum ini, Bernama melaporkan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang mengumumkan perkhidmatan feri Pulau Pinang, yang menghubungkan tanah besar di Seberang Perai dengan bahagian pulau negeri itu sejak 126 tahun lepas, akan diganti dengan bot penumpang laju bermula 1 Januari.

Menurut laporan itu lagi, feri sedia ada pula hanya digunakan sebagai medium pengangkutan bagi pengguna basikal dan motosikal.

Pada 17 Disember lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Perkhidmatan feri Pulau Pinang akan diteruskan mengikut syarat pembiayaan kerajaan kepada Pelabuhan Pulau Pinang.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM30 juta kepada Pelabuhan Pulau Pinang bagi mengambil alih perkhidmatan feri itu.

"Saya mengesahkan peruntukan itu seperti yang diluluskan sebelum ini, akan dibayar secara dua ansuran tahunan iaitu RM15 juta untuk 2021 adalah termasuk dalam peruntukan yang diluluskan dalam Rang Undang-undang Perbekalan 2021.

"Baki RM15 juta akan disediakan. Kerajaan akan memastikan Pelabuhan Pulau Pinang disyaratkan untuk meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik dan berwarisan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) 2020 di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Chun Wai berkata, kebanyakan ahli politik Pulau Pinang - yang mana sebahagian besar daripada mereka bukan anak jati kelahiran negeri itu pun – hanya bercakap tentang usaha menyelamatkan perkhidmatan itu, tetapi tiada perancangan praktikal untuk mengekalkannya.

“Jika Kementerian Kewangan mengumumkan perkhidmatan feri itu akan dikekalkan dengan peruntukan RM30 juta, maka ia bukan satu langkah jangka panjang yang sesuai. Ia hanya membuang duit pembayar cukai kerana perkhidmatan itu sudah pun dalam unit rawatan rapi (ICU).

“Realitinya, Feri Pulau Pinang, dengan model yang sama, dengan rupa dan rasa yang sama, tidak boleh lagi dijadikan sebagai mod pengangkutan yang berterusan,” tegasnya lagi.

Daripada asyik mengeluarkan kenyataan yang bersifat populis, beliau berkata, ahli politik seharusnya melihat kepada keadaan kewangan perkhidmatan feri tersebut.

Chun Wai berkata, ia lebih masuk akal jika feri itu digantikan dengan perkhidmatan pengangkutan air lain yang lebih berkesan seperti katamaran, bagi memastikan pengangkutan berterusan.

“Seperti mana perkhidmatan ikonik Kereta Api Funikular Bukit Bendera, yang bergerak dari Air Itam ke Bukit Bendera, ia juga telah digantikan dengan model yang berlainan kerana isu penyelenggaraan dan alat ganti.

“Ia tidak masuk akal apabila sesetengah pihak masih berdegil dan bertegas perkhidmatan Feri Pulau Pinang dikekalkan semata-mata kerana rasa nostalgik. Bukannya bermaksud perkhidmatan antara Pulau Pinang dan Butterworth akan terus terhenti,” katanya lagi.

Chun Wai berkata, sebagai anak jati Pulau Pinang, yang lahir dan membesar di negeri itu, sememangnya perkhidmatan feri tersebut banyak meninggalkan memori dalam kehidupan beliau.

“Tetapi jika ia harus dihentikan, kita harus terima. Logik harus dilakukan,” katanya lagi.

- astro awani

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo