Pelan Transformasi Industri Mineral Negara Mampu Tingkatkan KDNK dan Wujudkan Peluang Kerjaya


KUALA LUMPUR: Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2020-2030 dijangka dilancarkan pada awal Januari 2021, bagi memperkasakan pembangunan industri mineral negara yang nilainya ketika ini dianggarkan berjumlah RM4.11 trilion.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pelan itu juga satu lonjakan baharu ke arah menjadikan industri mineral sebagai penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus membuka banyak peluang pekerjaan.

"Kita mengorak langkah ke hadapan untuk melihat secara lebih serius, bagaimana bangunkan industri mineral yang nilainya berasaskan kajian dalam Rancangan Malaysia Ke-11 mencecah RM4.11 trilion.

"Nilai ini cukup besar dan mampu meningkatkan KDNK serta mewujudkan banyak peluang pekerjaan dalam industri ini.

"Kita mahu bangunkan (industri mineral) ini bukan hanya tertumpu pada sektor huluan, yang mana kita menjadi pembekal berbentuk mentah kepada negara lain secara berterusan, sebaliknya tumpuan juga perlu diberikan pada sektor pertengahan dan hiliran, supaya impak kepada negara benar-benar tercapai," katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.

Jelasnya, negara mempunyai sumber mineral mencecah hampir 200 jenis yang mampu melonjakkan ekonomi, namun kerajaan ketika ini sedang berusaha untuk membangunkan sumber mineral baharu iaitu logam nadir bumi tanpa radioaktif, yang semakin diperlukan pemain industri di dunia.

"Mineral ini sangat bernilai dan ia penting dalam Revolusi Industri 4.0 yang menjadi rebutan pelbagai negara antaranya China, Jepun dan Amerika Syarikat, untuk digunakan dalam teknologi telekomunikasi termasuk industri pertahanan.

"Saya beri jaminan kepada rakyat hanya bahan bukan radioaktif yang akan dibangunkan, sebab itu kajian secara teliti sedang dibuat, prosedur operasi standard sedang dibangunkan dan Insya-Allah akan dibawa ke jemaah menteri, termasuk Majlis Mineral Negara dan Majlis Tanah Negara untuk dipersetujui," katanya.

-- BERNAMA

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post