Kisah Daging Yang Haram "Dihalalkan"

Pekerja dedah diarah dan diugut supaya luluskan daging haram untuk pasaran Malaysia

24 December

TEMUBUAL yang dijalankan terhadap lima orang pekerja dan pemantau rumah sembelihan di Australia mendedahkan bahawa mereka telah diugut supaya meluluskan daging-daging haram untuk pasaran Malaysia.

Mereka juga mendakwa telah menerima layanan buruk sepanjang bertugas di bawah seorang individu bernama Mohamed Adil Rahman. 

Kelima-lima mereka yang bekerja di pelbagai tempat sembelihan di Australia itu meminta supaya wartawan menggunakan nama samaran supaya identiti mereka tidak didedahkan.

Seorang lelaki bernama 'Mustafa' diambil bekerja sebagai tukang sembelih oleh Mohamed Adil Rahman bagi mewakili Sichma (Supreme Islamic Council of Halal Meat Australia).

Mustafa kemudiannya ditugaskan sebagai pemantau di antara tahun 2008 dan 2012 di pelbagai rumah sembelihan terletak di New South Wales, Australia.

Dalam satu rakaman temubual, Mustafa  mendedahkan, dia telah diarahkan oleh Adil Rahman supaya "meluluskan bangkai yang haram menjadi halal" dengan cara membuang tag 'tidak halal' dan menggantikannya dengan 'halal' sebelum dicampurkan ke dalam proses penyediaan daging halal.

Selanjutnya, haiwan-haiwan yang dikenali sebagai 'downers' atau terpaksa dibunuh, yang sudah mati dan haram juga dilabelkan sebagai halal. Ini termasuklah bangkai haiwan yang tengkoraknya retak yang sepatutnya dilabelkan sebagai haram.

Menurut Mustafa, dia telah membuat aduan kepada kedua-dua wakil Sichma, Adil Rahman dan sebelum ini Mughdar Sadian namun diminta agar menuruti sahaja arahan jika tidak mahu dipecat.

Tambahnya lagi gajinya juga dipotong secara berkala untuk membayar 'derma' dan tidak dibenarkan untuk bercuti. Selain itu katanya, dia  tidak diberikan surat rasmi tawaran kerja atau kontrak.

Individu bernama Fikri diambil bekerja sementara oleh Adil Rahman dalam tahun 2014 di Gundagai, New South Wales untuk Sichma. Fikri juga mengesahkan dakwaan bahawa bangkai haiwan yang tidak halal kerana terpaksa dibunuh telah diletakkan label halal.

Kata Fikri dia meninggalkan Sichma walaupun baru bekerja tiga hari kerana merasa jijik dengan kegiatan curang dalam proses penyediaan daging halal. Fikri juga tidak diberikan sebarang kontrak kerja dan tidak pernah diberi gaji.

'Abdul' pula mendakwa telah diambil bekerja oleh Adil Rahman sebagai tukang sembelih dari bulan Jun 2017 sehingga bulan Mei 2018 di dua buah rumah sembelihan terletak di New South Wales.

"Sepanjang saya bekerja dengan Mohamed Adil Rahman. Saya lihat mereka tidak mengikut standard Syariah/Halal sepenuhnya," katanya.

Tukang sembelihan bukan beragama islam dakwanya mengambil bahagian secara bergilir dalam produksi dengan tiada langsung kehadiran pemantau halal di sebuah rumah sembelihan.

"Setiap kali pekerja islam perlu pergi ke tandas, pekerja bukan Islam meneruskan proses sembelihan, mengakibatkan daging halal dan bangkai haram bercampur. Atas alasan yang sama, saya sukar untuk menunaikan solat kerana tidak dibenarkan berehat," dedahnya.

Menurut Abdul, gaji yang diterimanya kurang daripada separuh seperti yang dijanjikan disebabkan oleh 'derma misteri' yang ditolak dari bayaran.

Abdul turun mengadu dalam kenyataan bersumpahnya bahawa dia tidak dibenarkan bercuti dan tiada pampasan perubatan ketika bekerja di bawah Adil Rahman.

Seorang lagi tukang sembelih dan juga juru pemantau bernama "Halim" diambil bekerja oleh Muhamed Adil Rahman dari bulan Mei 2016 hingga May 2017.

Kata Halim, dia telah dikejarkan ke hospital dan menerima 10 jahitan selepas terlibat dalam satu kemalangan, namun sebaliknya dia telah diarahkan oleh Mohamed Adil Rahman untuk segera kembali bekerja.

Selepas merayu, Adil Rahman akhirnya membenarkannya masuk kerja pada pagi keesokan harinya. Keesokan pagi itu katanya, dia merasa begitu sakit dan telah pulang ke rumah berdekatan dengan rumah sembelihan. 

Akibat perbuatan itu, Mohamed Adil Rahman telah memecat Halim dan menghalaunya keluar dari rumah.

Halim juga tidak pernah menerima kontrak kerja, justeru tiada dokumen bukti pekerjaannya. Dia tidak dibenarkan mengambil cuti atau meminta pampasan perubatan. Tiada tempoh masa bekerja setiap minggu dan syarat-syarat minimum bagi notis pemecatan.

Seorang lagi individu bernama "Raslan" mendakwa telah diambil bekerja oleh Muhamed Adil Rahman sebagai pemantau dari tahun 2013 hingga 2017. 

"Saya secara tidak sedar berada dalam sistem yang melibatkan penipuan kontrak kerja, penipuan cukai, dan kegiatan ekonomi gelap yang telah dirancang, dilakukan, dan didalangi oleh Mohamed Adil Rahman menggunakan nama Supreme Islamic Council of Halal Meat Australia Inc. (Sichma) sebagai pihak pengesahan, yang mana saya tidak mahu terlibat lagi," dedahnya.

Menurut Raslan, Adil Rahman bertindak sebagai pemantauan negeri untuk Sichma, juru audit rumah sembelihan, dan penyedia tukang sembelihan yang menumpukan kepada penyediaan juru sembelih halal untuk Sichma.

"Memegang ketiga-tiga jawatan ini melanggar undang-undang dan standard halal, dan akan menjejaskan integriti produk-produk halal," katanya.

Menurut Raslan, Adil Rahman telah menggunakan pengaruhnya untuk menyingkirkan Australian Halal Food Services (AHFS) dari akreditasi sebagai pembekal kepada Jakim dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Adil Rahman juga katanya telah menyingkirkan Islamic Co-coordinating Council of Victoria (ICCV) dari akreditasi Jakim.

"ICCV enggan patuh kepadanya. Tiga minggu kemudian dengan perasaan puas dia beritahu saya, sudah selesai. Saya dah buang ICCV dari senarai Malaysia dan Singapura. Pada minggu berikutnya, sebuah notis dari Malaysia dan Singapura sampai mengesahkan kenyataan Adil Rahman," dedahnya.

Raslan menceritakan sebuah sistem yang mana Adil Rahman telah mengawal kesemua kemudahan tukang sembelih termasuk kemudahan cukai, caruman pencen, cuti bergaji, cuti sakit, elaun dan lain-lain.

Namun bayaran yang sepatutnya diterima oleh pekerja ini katanya dikongsi bersama bos-bos Sichma dan pihak lain.

"Orang tengah (yang juga merupakan seorang tukang sembelih) kemudian membayar pekerja sembelihan lain. Namun tiada pekerja yang menerima kemudahan cukai, caruman pencen, cuti bergaji, cuti sakit. Mereka hanya menerima gaji asas tidak lebih dari itu," 

"Sebagai orang tengah, Adil Rahman mengarahkan saya untuk menubuhkan sebuah syarikat di bawah nama saya, untuk bertindak sebagai pembayar. Namun syarikat itu berfungsi seperti yang diarahkan oleh Adil Rahman, dan saya tidak mempunyai kuasa ke atasnya," dedahnya.

"Ironinya, disebabkan pendekatan licik, Adil Rahman tidak mempunyai sebarang perjanjian dengan mana-mana rumah sembelihan untuk menyediakan pekerja. Namun loji-loji sembelihan ini membayar secara terus kepadanya untuk mendapatkan perkhidmatan juru sembelih,"

"Perlu diketengahkan bahawa sekiranya sebuah rumah sembelihan tidak bersetuju dengan cara itu, ia akan hilang lesen mengimport daging halal kerana Adil Rahman merupakan seorang Pemantau Halal Negeri dan Juru Audit Loji Sembelihan untuk Sichma,"

"Saya pernah menjadi salah seorang pemantau, dan saya ditugaskan membayar gaji pekerja. Namun akhirnya saya sedar ini merupakan satu bentuk penghambaan moden terhadap pekerja dan mengambil keputusan untuk tampil mendedahkan informasi ini kepada anda hari ini. Para pekerja masih lagi dilayan buruk, dan menerima gaji yang tidak setimpal," dedahnya.

Jika ada mana-mana juru sembelih yang mengadu kepada rumah sembelihan, kata Raslan, mereka diberitahu bahawa itu bukan tanggung jawab loji sembelihan. 

Apabila juru sembelih mengadu kepada Sichma, sebaliknya mereka diminta untuk bercakap kepada Adil Rahman dan apabila mereka mengadu kepadanya, mereka diugut untuk dipecat, dan gaji minggu lalu tidak akan diberikan.

"Saya tidak boleh nafikan bahawa Adil Rahman mempunyai hubungan baik dengan Malaysia dan Singapura, dan dia menggunakan kelebihan ini untuk maju dalam perniagaan," dedahnya.

Sichma menerusi peguamnya Peter Guy, dari Kennedy Guy Solicitors Melbourne menafikan segala dakwaan dan menyifatkannya sebagai palsu dan tidak tepat.

Sichma juga menafikan bahawa Mohamed Adil Rahman merupakan juruaudit halalnya, namun ia enggan mengesahkan peranannya dalam organisasi berkenaan. 

Sichma juga telah mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap artikel Asian Sentinel bertarikh 7 November yang melaporkan tentang penyelewengan. Asian Sentinel bagaimanapun mempertahankan laporan itu dan tidak memadamnya sekaligus bersedia untuk disaman.

Sumber — asiansentinel.com
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post