Responsive Ad Slot

Dijangkiti COVID-19 Di Tempat Kerja? Anda DIlindungi PERKESO


PENDANG, 25 Dis  -- Seramai 25 individu di Kedah yang dijangkiti COVID-19 di tempat kerja  telah menerima bayaran faedah di bawah Skim Bencana Kerja Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata kesemua mereka dibayar sebanyak 90 peratus daripada jumlah gaji masing-masing mengikut jumlah hari mereka dirawat di hospital sehingga mereka disahkan negatif daripada virus berkenaan.

"Seramai 25 pencarum Perkeso ini layak menerima bayaran di bawah skim tersebut setelah siasatan mendapati mereka benar-benar dijangkiti COVID-19 di tempat kerja sahaja dan terdapat satu kes kita tolak berikutan pencarum itu tidak dijangkiti di tempat kerja.

“Selain itu, satu kes lagi dalam siasatan. Kesemua kes ini membabitkan jangkitan daripada Kluster Sungai, Kluster Telaga dan Kluster Tembok yang direkodkan di negeri ini," kepadanya pemberita selepas merasmikan Taklimat Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso di sini hari ini.

Beliau berkata bagi memastikan bayaran dibuat hanya kepada pencarum yang layak, Perkeso melakukan siasatan terperinci selain turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi mengenal pasti kes jangkitan di tempat kerja.

Sementara itu, Awang berkata Perkeso telah membuat bayaran lebih RM2 juta kepada 597 pencarum yang layak mendapat faedah di bawah SKSPS dengan lebih separuh daripada penerima adalah menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS).

"Faedah HUS dibayar kepada orang berinsurans bekerja sendiri sepanjang tempoh cuti sakit yang disahkan oleh doktor dan mestilah sekurang-kurangnya empat hari termasuk hari kemalangan," katanya.

Awang yang juga anggota Parlimen Pendang menyarankan golongan yang bekerja sendiri mencarum di bawah skim itu sebagai persediaan perlindungan diri dan keluarga sekiranya ditimpa kecelakaan.

“Kita harap mereka yang bekerja sendiri mengambil manfaat daripada SKSPS ini kerana setakat ini penglibatan mereka masih rendah. Perkeso juga akan mempergiatkan kempen dan promosi bagi menarik lebih ramai individu mencarum dengan SKSPS kerana manfaatnya banyak,” katanya.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo