Responsive Ad Slot

COVID-19: Kes positif global hampir 80 juta, kematian 1.73 juta


JUMLAH kumulatif kes positif COVID-19 seluruh dunia kini menghampiri 80 juta.

Sebanyak 79,273,423 kes direkodkan setakat pagi ini waktu Malaysia, susulan ratusan ribu kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.

Terkini, Malaysia menjadi negara terbaharu dengan kes positif COVID-19 melepasi angka 100,000 selepas mencatatkan 1,581 kes baharu semalam.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) masih kekal negara paling teruk terjejas dengan 18,625,451 kes.

Ini diikuti India dengan 10,123,778 kes dan Brazil dengan 7,423,945 juta kes.

Negara yang melepasi angka 2 juta kes adalah Rusia, Perancis, United Kingdom, Turki dan Itali.

Manakala Sepanyol, Jerman, Argentina, Colombia dan Mexico antara negara yang merekodkan lebih sejuta kes positif.

Afrika Selatan, Belanda, Indonesia, Czechia dan Belgium pula antara negara yang merekodkan angka lebih 500,000 kes.

30 negara lain merekodkan angka positif lebih 100,000 kes.

Sementara itu, angka kematian akibat COVID-19 seluruh dunia kini mencecah 1.73 juta.

AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 328,760 kes diikuti Brazil, India dan Mexico yang merekodkan angka kematian lebih 100,000.

Negara dengan jumlah korban akibat COVID-19 melebihi 50,000 kes termasuk Itali, United Kingdom, Perancis, Iran dan Rusia.

Manakala negara yang merekodkan antara 30,000 dan 50,000 kes kematian adalah Sepanyol, Argentina, Colombia dan Peru.

Jerman, Poland, Afrika Selatan dan Indonesia pula mencatatkan lebih 20,000 angka korban.

13 negara lain merekodkan antara 10,000 dan 20,000 kes kematian.

- Astro Awani

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo