NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

COVID-19 : Jawatankuasa Muzakarah Putuskan Hukum Vaksin Harus Tapi Wajib Diambil Golongan Tertentu


KUALA LUMPUR : Umat Islam di Malaysia tidak perlu bimbang dengan status vaksin COVID-19 terutama dari segi hukum kerana vaksin dipasarkan di Malaysia sudah melalui perbincangan Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan.

Jawatankuasa tersebut telah berbincang dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum sebarang keputusan melibatkan hukum vaksin dikeluarkan.

Pengarah Besar (Menjalankan Tugas), International Fatwa and Halal Centre (iFFAH), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Irwan Mohd Subri berkata, perbincangan itu termasuk berkaitan kandungan vaksin yang menjadi kebimbangan ramai pihak.

“Jadi saya nasihatkan masyarakat Islam di Malaysia khususnya untuk memberi kepercayaan kepada Jawatankuasa Muzakarah yang mereka terdiri daripada mufti-mufti dan para alim.

“Mereka telah melihat situasi ini berdasarkan ilmu, kepakaran, pengalaman, realiti, kesihatan dan sebagainya. Bagi saya, tidak timbul isu berkenaan hukum fiqah berkaitan vaksin.

“Ini kerana Jawatankuasa Muzakarah telah mengambil kira semua perkara,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Khamis.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember lalu memutuskan hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak.

Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengumumkan, kerajaan kini dalam peringkat perolehan fasa akhir untuk mendapatkan lagi 23.9 juta dos vaksin, yang merangkumi 42.8 peratus populasi rakyat di negara ini.

Menurut beliau, perjanjian itu melibatkan syarikat farmaseutikal Sinovac, CanSinoBIO dari China dan The Gamaleya Institute.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo