ADUN DAP Perak tak setuju kerjasama UMNO

IPOH - DAP Perak disifatkan terburu-buru dalam membuat keputusan untuk bekerjasama dengan UMNO bagi membentuk kerajaan di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu berkata, DAP Perak seharusnya sedar kemelut politik yang sedang melanda negeri ini merupakan pencaturan politik UMNO untuk menukar Menteri Besar Perak bagi manfaat mereka sendiri.

Menurutnya, sebagai parti yang berprinsip, DAP tidak sepatutnya berganjak daripada pendirian asal untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana pemimpin yang tidak berprinsip.

"Saya rasa amat risau dan cemas apabila timbul kenyataan yang dilapor di media massa utama bahawa DAP di Perak bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik, terutama UMNO untuk menamatkan krisis perebutan kuasa yang sedang berlaku di Perak.

"Pendirian saya, Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya bekerjasama dengan UMNO dalam gabungan kerajaan perpaduan Perak ini, kerana pertukaran Menteri Besar dan exco negeri Perak ini hanyalah permainan politik pemimpin atasan UMNO," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, Terence menyifatkan keputusan untuk bekerjasama yang dibuat secara membuta tuli itu seolah-olah menyokong salahguna kuasa dan korupsi pemimpin UMNO.

Katanya, sejak dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum tahun 2018, PH telah mendedahkan banyak kes-kes korupsi dan salahguna kuasa yang melibatkan bekas Perdana Menteri dan juga bekas menteri dari UMNO yang kini menghadapi tuduhan tersebut di dalam mahkamah.

Katanya, DAP Perak perlu mengimbau kembali bagaimana PH yang sah dipilih rakyat melalui PRU14 telah ditamatkan riwayatnya menerusi pengkhianatan segelintir bekas pemimpin PH dengan bantuan UMNO.

Beliau berkata, sekiranya DAP dan PH masih mahu bekerjasama dengan UMNO, rakyat akan menghukum mereka pada PRU akan datang kerana turut bersekongkol dalam permainan politik ini.

Dalam pada itu, Terence akan menjunjung segala titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri ini.

"Saya sedar yang kini kita berada dalam kebuntuan dalam situasi politik di negeri Perak sekarang dan ramai rakyat risau tentang tiadanya kerajaan negeri yang berfungsi sekarang di Perak.

"Saya percaya Paduka Seri Sultan Perak akan mempertimbangkan segala keputusan yang difikirkan terbaik dan mendahulukan rakyat Perak demi kebaikan kerajaan Tuanku. Saya akan menjunjung segala titah Tuanku dalam perihal ini," katanya.

Semalam, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menjelaskan kesediaan DAP Perak untuk bekerjasama dengan UMNO sebelum ini bertujuan membentuk sebuah kerajaan berbilang kaum yang bersih, kukuh dan stabil.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira situasi negeri yang mana tiada satu parti yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan yang stabil.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/113957/BERITA/Politik/ADUN-DAP-Perak-tak-setuju-kerjasama-UMNO

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post