NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Covid 19: 3 Kluster Baharu, 168 Kluster Masih Aktif


21 NOV: Sebanyak tiga kluster baharu dikesan hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 168 kluster.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 36 kluster melaporkan pertambahan kes.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Teratai (299 kes), Kluster Hentian (79 kes), dan Kluster Tapak Bina Damanlela (43 kes),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Berhubung kluster baharu, beliau memberitahu, Kluster Penjara Jalan Harapan melibat Penjara Sungai Buloh dan kes-kes kluster tersebut dikesan positif COVID-19 hasil saringan kemasukan tahanan ke penjara pada 17 November lalu.

Dr Noor Hisham menambah, sehingga hari ini, sejumlah 113 individu telah disaring, di mana 17 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster berkenaan.

Kluster Kota Kecil pula melibatkan daerah Kota Tinggi, Johor di mana kes indeks dikesan positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 15 November lalu.

“Sehingga 21 November 2020, sejumlah 467 individu telah disaring, di mana sembilan kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

“Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang,” jelasnya.

Kluster Sky Coklat dikesan di Labuan di mana kes indeks dikesan positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 19 November lalu.

“Sehingga 21 November 2020, sejumlah 51 individu telah disaring, di mana tujuh kes telah dikesan positif COVID-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Labuan,” katanya.

Dua kluster iaitu Kluster Bah Kayu dan Kluster Lekir tamat hari ini, menjadikan jumlah kluster tamat adalah sebanyak 159 kluster.

Secara keseluruhan, sebanyak 327 kluster COVID-19 dilaporkan setakat ini. – Oleh HUSSAINI AMRAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo