Umno di persimpangan bahaya sekali lagi?


oleh: TIMMY SAY

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, pimpinan tertinggi Umno mengambil keputusan menjaga kepentingan diri melebihi kepentingan parti.

Tindakan itu menyebabkan Umno berpecah sehingga terlahirnya Bersatu yang diketuai Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin dan Warisan yang diketuai Mohd Shafie Apdal.

Bukan itu sahaja, Umno menjadi pembangkang buat kali pertamanya sejurus selepas PRU14 berakhir dan ahli-ahli Umno terpaksa menanggung malu melihat satu persatu pimpinan tertinggi mereka diheret ke mahkamah atas pelbagai tuduhan rasuah.

Maruah Umno mula terbela apabila Muhyiddin mengambil langkah keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama Muafakat Nasional (MN) yang dianggotai Umno dan PAS.

Walaupun Bersatu ini ibarat duri dalam daging kepada Umno, sebagaimana Amanah kepada PAS, tapi kali ini, pimpinan tertinggi Umno mengambil sikap mengutamakan parti terlebih dahulu dan menerima kerjasama dengan Bersatu.

“Duduk di dalam kerajaan jauh lebih baik duduk di dalam pembangkang” – begitulah suara akar umbi Umno sejurus selepas Umno kembali ke Putrajaya.

Meskipun Umno tidak lagi memegang jawatan perdana menteri, tapi keadaan dan mood di dalam Umno jauh berbeza sebagai satu parti gabungan kerajaan berbanding sebuah parti pembangkang.

Sedihnya, tidak sampai lapan bulan bersama kerajaan PN, Umno kini bergolak lagi.

Pergolakan ini dapat dilihat melalui kegagalan pimpinan tertinggi Umno untuk bersatu dan mengeluarkan satu kenyataan rasmi menyangkal dakwaan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim beliau sudah mendapat majoriti yang “kukuh dan meyakinkan” untuk membentuk kerajaan baru.

Ini adalah petanda Umno kini berada di persimpangan yang sama seperti sebelum PRU14.

Umno kini berdepan dengan soalan yang sama – apa yang lebih penting? Kepentingan peribadi pimpinan tertinggi atau kepentingan parti secara keseluruhannya?

Jikalau apa yang dikehendaki pimpinan Umno ialah memaksa Muhyiddin untuk membubarkan Parlimen, opsyen ini tidak dapat dilakukan sekarang selagi Covid-19 masih mengganas.

Jikalau Parlimen dibubarkan kerana angkara Umno, parti Melayu itu akan menerima padahnya seperti PRU14.

Jikalau apa yang dikehendaki pimpinan Umno ialah jawatan perdana menteri kembali ke tangan Umno, menyokong Anwar sebenarnya akan menjauhkan Umno daripada jawatan itu buat selama-lamanya.

Jikalau apa yang dikehendaki pimpinan Umno ialah mengajar Muhyiddin dan Bersatu, ingatlah PRU15 hanyalah dua tahun lagi – sepatutnya Umno perlu menguatkan diri agar boleh menang di dalam pertandingan tiga penjuru yang melibatkan parti serpihannya.

Jikalau Parlimen dibubarkan kerana angkara Umno, parti Melayu itu akan menerima padahnya seperti PRU14.Melibatkan diri dengan Anwar hanya memberikan kelebihan kepada Bersatu pada PRU15 kerana Umno akan ditolak kumpulan pengundi Melayu kerana merosakkan MN dan PN.

Namun, jikalau apa yang dikehendaki pimpinan Umno ialah menjaga kepentingan diri sendiri, maka segalanya sudah terjawab kerana dari segi politik, sebarang kerjasama Umno dengan Anwar hanya merugikan Umno dan menyebabkan parti itu berpecah lagi.

Besok, rakyat Malaysia bakal mengetahui nasib Umno untuk PRU15.



Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post