NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tangguh pendaftaran fizikal pelajar IPT baharu, lama



KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mencadangkan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) menangguhkan terlebih dahulu pendaftaran secara fizikal/bersemuka bagi pelajar baharu dan lama untuk kemasukan ke kampus bulan ini.

KPT memaklumkan, keputusan itu perlu dibuat demi kesejahteraan dan keselamatan semua pihak, susulan peningkatan kes COVID-19 ketika ini.

"Semua urusan pendaftaran pelajar boleh dilaksanakan secara dalam talian, begitu juga aspek pengajaran dan pembelajaran sehingga pengumuman baharu mengenainya dibuat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sejak kebelakangan ini, kes COVID-19 mencatatkan peningkatan mendadak, dengan yang terbaharu semalam, mencatatkan 260 kes baharu, yang mana 259 kes adalah penularan tempatan.

Ia adalah kes kedua tertinggi di negara ini selepas 4 Jun lalu yang merekodkan 277 kes.

Selain itu, KPT berkata, bagi pelajar yang sudah berada di kampus dan mengikuti aktiviti akademik, mereka boleh kekal berada di kampus masing-masing dan pihak IPT diminta membantu segala keperluan pelajar ini.

"Sebarang pertanyaan berkaitan pergerakan balik ke kampus dan sesi pengajaran serta pembelajaran boleh dirujuk terus kepada IPT masing-masing.

"KPT juga mencadangkan kepada IPT supaya menangguhkan semua program atau aktiviti yang membabitkan himpunan di dalam kampus," katanya.

Kementerian itu juga memberitahu, syarikat penerbangan sudah bersetuju untuk menjadualkan semula penerbangan pelajar terutama yang sudah membeli tiket untuk pulang ke kampus masing-masing sehingga 31 Disember ini, hasil rundingannya dengan syarikat penerbangan yang terbabit.

"Keprihatinan dan kepekaan semua pihak dalam menjaga hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan pelajar serta masyarakat amat diperlukan dalam menghadapi situasi semasa berkaitan pandemik COVID-19 ini," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/737586/tangguh-pendaftaran-fizikal-pelajar-ipt-baharu-lama



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo