NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perhimpunan Agung UMNO 2020 ditangguhkan - Ahmad Maslan

Ahmad dalam satu kenyataan hari ini berkata Mesyuarat Perwakilan Bahagian UMNO  turut ditangguhkan.

“Penangguhan ini melibatkan kira-kira 764 persidangan iaitu empat mesyuarat perwakilan untuk setiap 191 Bahagian UMNO di seluruh negara. Oleh kerana begitu banyak perhimpunan melibatkan puluhan ribu orang, ia berkemungkinan berupaya merebakkan penularan pandemik COVID-19.

“Jawatankuasa Pengurusan UMNO bersetuju sebulat suara mengenai keputusan ini dan telah mendapat persetujuan secara majoriti daripada Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO melalui 'circular resolution' atau resolusi secara edaran,” katanya.

Memperincikan perkara itu, Ahmad berkata mengikut Fasal 8.2 Perlembagaan UMNO, Perhimpunan Agung Tahunan hendaklah diadakan sekali dalam setahun pada bila-bila masa yang ditetapkan Majlis Tertinggi dengan syarat tidak lewat daripada 18 bulan daripada tarikh PAU yang lepas.

Katanya Fasal 8.2 Perlembagaan itu dibaca bersama Perkara 5.4 Peraturan Persidangan iaitu tarikh Perhimpunan Agung, tarikh Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan tempoh Persidangan Cawangan adalah ditentukan oleh Majlis Tertinggi.

“Tarikh PAU 2019 ialah 6 dan 7 Dis 2019, maka 18 bulan selepas itu ialah selewatnya pada 5 Jun 2021. Oleh itu, dipersetujui tarikh Mesyuarat Perwakilan Bahagian pada Mac atau April 2021 dan PAU 2020 pada Mei atau awal Jun 2021. Bagaimanapun, tarikh yang tepat akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO serta Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di semua bahagian disaran untuk mengadakan pelbagai aktiviti kebajikan prihatin rakyat dan ziarah kasih kepada yang memerlukan bantuan dalam kawasan masing-masing.

“Segala aktiviti mestilah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo