NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Islam atau kepentingan parti? – Hawa Yaakub



Oleh : Sumayyah Ahmad

MASJID TANAH, 30 Sept: “Peringatan kepada semua yang mengaku memperjuangkan agama Allah di negara kita, adakah kita benar-benar meletakkan Islam sebagai tujuan utama atau pun kepentingan parti masing-masing?”

Demikian persoalan dibangkitkan oleh Bendahari Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Hawa Yaakub dalam satu hantaran Facebook beliau pada 29 September lepas.

Hawa membuat hantaran tersebut sebagai mengulas isu pergolakan di kalangan parti-parti politik Melayu akhir-akhir ini.

Beliau mengingatkan semua ahli jemaah agar tidak menjadikan isu jawatan sebagai kayu ukur dalam memperjuangkan Islam.

“Adakah kita tidak berpeluang memainkan peranan sebagai tentera Allah jika kita tidak memegang jawatan?

“Berapa ramai golongan pemerintah yang disiksa di neraka dan golongan hamba yg mendapat syurga tanpa hisab?

“Ambillah iktibar daripada Khalid Al-Walid yang faham tugasnya sebagai jundullah dan reda dipecat daripada jawatan Panglima Angkatan Tentera Islam oleh Khalifah Saidina Umar ketika dia berada di puncak kerjayanya untuk menjadi tentera biasa bagi menyelamatkan akidah umat Islam. Khalid berkata, ‘aku bekerja untuk Allah, bukan untuk Umar’.

“Jadilah seperti Saidina Umar yang faham menyelamatkan akidah umat itu lebih penting daripada kemenangan di medan perang dan beliau juga faham bahawa kemenangan itu dari Allah dan bukan kerana hebatnya manusia.

“Tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan izin Allah. Jika kita sudah berhempas pulas bekerja untuk Allah, adakah kita telah benar-benar yakin bahawa Allah melihat usaha kita ataupun kita masih mengharap jawatan di dunia dan penghormatan manusia? Tepuk dada tanyalah iman.” ujar beliau dalam hantaran itu.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo