NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

3 senario hasil daripada 'langkah Anwar' yang menjurus kepada PRU-15



KUALA LUMPUR: Tindakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mendakwa mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan boleh mencetuskan pelbagai implikasi ketika negara masih bergelut mengekang penularan wabak COVID-19.

Anwar semalam mendakwa diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, Selasa ini dan akan mempersembahkan dokumen yang mendakwa beliau mempunyai majoriti sokongan Ahli Parlimen.

Pakar perlembagaan yang juga Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata tiga senario mungkin berlaku, yang semuanya boleh menjurus kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ketika pandemik COVID-19.

Katanya, senario pertama, jika Anwar benar-benar mempunyai sokongan, ia bermakna ada Ahli Parlimen yang 'berubah angin' atau melompat parti, maka Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap hilang sokongan majoriti.

"Dalam senario ini, Muhyiddin boleh terus meletakkan jawatan atau meminta Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen (yang mana membuka kepada PRU-15 diadakan). Terpulang kepada baginda sama ada memenuhi atau menolak permintaan itu.

"Jika permohonan (PRU) ditolak, maka Anwar akan dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan. Jika permohonan diterima, maka berlakulah PRU-15," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata, bagi senario kedua, ada kemungkinan Anwar mempunyai sokongan untuk menjatuhkan Muhyiddin tetapi tidak mempunyai sokongan untuk menjadi Perdana Menteri.

"Kenapa berlaku demikian? Tidak mustahil mereka (Ahli Parlimen) yang menyatakan sokongan kepada Anwar berbuat demikian semata-mata untuk memastikan berlaku PRU lebih awal.

"Berdasarkan beberapa kenyataan umum, kelihatan tokoh daripada UMNO sangat mengharapkan agar PRU diadakan segera.

"Harapan ini mungkin timbul kerana keyakinan bahawa inilah saat mereka untuk mengembalikan semula kuasa yang hilang dalam PRU ke-14 dahulu.

"Sokongan kepada Anwar hanya sebagai 'alat' untuk mencapai cita-cita (PRU) ini. Jika demikian, Anwar mungkin berjaya menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetapi gagal untuk menubuhkan kerajaan dan akhirnya PRU-15 tidak lagi boleh dielakkan," katanya.

Bagi senario ketiga, Dr Muhammad Fathi berkata, ada juga kemungkinan elemen tertentu dalam UMNO benar-benar ingin menyokong Anwar menubuhkan kerajaan baharu dan apabila hasrat itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, maka dengan sendirinya kerajaan PN jatuh.

Bagaimanapun katanya, pada saat rundingan untuk menubuhkan kerajaan, kemungkinan wujud konflik terutama antara elemen UMNO dan DAP yang pada zahirnya amat sukar untuk bergabung dan jika keadaan itu tidak dapat diselesaikan, ia akan membawa kepada PRU-15 dalam tempoh terdekat.

"Berdasarkan tiga senario kemungkinan di atas, kita dapat jangkakan bahawa langkah terkini Anwar mungkin membawa kepada PRU-15 pada saat rakyat sedang bertarung dengan COVID-19.

"Kita doakan agar semua pemimpin politik mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat, mengatasi cita-cita politik.

"Rakyat inginkan ahli politik yang menjadikan kuasa sebagai jalan untuk berbakti dan bersedia untuk bekerjasama demi kepentingan negara serta rakyat, walaupun berada di atas platform politik yang berbeza," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2020/10/740028/bhplus?


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo