NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Satu Lagi Pusat Pengajian Al-Quran OKU Penglihatan Terengganu Beroperasi





BESUT, 14 September - Kerajaan Terengganu menempa kejayaan terbaharu apabila berjaya menubuhkan satu lagi Pusat Pengajian Al-Quran Braille dan telah beroperasi di Pejabat Yayasan Islam, di sini sejak dua bulan lepas.


Perkembangan itu sekali gus memudahkan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan di Terengganu mempelajari mukjizat Nabi tersebut dengan lebih baik.

Kerjasama antara Yayasan Islam Terengganu dengan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia Wilayah Terengganu (PERTIS) dibuat selepas pusat sama bagi daerah Dungun dan Kemaman dibuka di Masjid Jamek, Paka sebelum ini dan yang pertama telah lama wujud sejak 2007 iaitu di Seberang Takir.




Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri amat berbangga dengan perkembangan itu dan berharap agar menjadi pemangkin kepada perkembangan al-Quran di Terengganu tanpa ada halangan kepada sesiapa sahaja yang mahu mendalaminya.

“Penubuhan pusat pengajian ini memberi fokus kepada golongan OKU cacat penglihatan untuk mengikuti kelas pengajian asas al-Quran dan hafazan.

“Mereka ada keistimewaan yang tersendiri, kita ingin war-warkan kepada seluruh masyarakat terutamanya yang mempunyai anak-anak OKU cacat penglihatan supaya mengambil peluang ini untuk mendedahkan anak-anak mereka mengenai pembelajaran al-Quran di pusat ini,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Pembukaan Pusat Pengajian Al-Quran Braille Yayasan Islam Terengganu di Pejabat Yayasan Islam, Besut, hari ini.



Katanya, kerajaan negeri dari semasa ke semasa akan memberi komitmen untuk memperkasa dan memperkukuhkan pusat ini demi melahirkan generasi yang mengenal serta memahami al-Quran tanpa mengira perbezaan lapisan masyarakat.

“Kesedaran mempelajari dan mendalami ilmu al-Quran melalui sistem pendidikan secara berterusan walaupun di kalangan OKU cacat penglihatan akan melahirkan generasi cintakan al-Quran di negeri ini.

“Justeru, untuk tahun ini kita kerajaan negeri peruntukan sebanyak RM1 juta untuk pengurusan di dua pusat ini dan untuk tahun depan akan dipertingkatkan lagi peruntukan untuk menambah baik dan menjadikan suasana pembelajaran lebih menarik,” ujarnya.

Katanya, setakat ini Pusat Al-Quran Braille Yayasan Islam Terengganu di Besut mempunyai 12 pelajar sementara di Paka 10 pelajar dengan masing-masing seorang guru.

Untuk rekod, kerajaan Terengganu pada awal tahun lalu berjanji untuk menubuhkan dua lagi Pusat Pengajian Al-Quran Braille di negeri ini membabitkan kos RM3 juta setiap satu.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo