Perkembangan pelaksanaan Hudud di Brunei




Oleh: Tun Abdul Hamid Mohamad

Pada 22 Oktober 2013, Kerajaan Brunei Darussalam telah mewartakan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 (Kanun Jenayah Syariah 2013).

Pada 01 Mei 2014, Fasa 1 yang melibatkan hukuman takzir selain hukuman mati dan qisas dilaksanakan.

Pada 3 April 2019, Fasa 2 dan 3 termasuk hukuman mati dilaksanakan sepenuhnya.

Setakat ini belum ada kes hudud yang dibicarakan. Yang ada hanyalah beberapa kes kesalahan sariqah (mencuri) yang telah dijatuhkan hukuman takzir (penjara) dan satu kes menyebabkan kecederaan qisas yang dijatuhkan hukuman arsy B$91,000.00 (1/3 diyat) dan penjara lima tahun.

Perlu diingati bahawa, walaupun Kanun Jenayah Syariah, 2013 telah dilaksanakan, Kanun Keseksaan (Penal Code) masih juga berkuatkuasa di Brunei dan kes-kes di bawahnya dibicarakan oleh Mahkamah Sivil. Oleh itu, terdapat kesalahan-kesalahan yang bertindih. Ertinya, bagi sesuatu perbuatan, misalnya mencuri, terdapat kesalahan di bawah Kanun Jenayah Syariah, 2013 dan juga di bawah Kanun Keseksaan. Bagaimana kes-kes seperti itu ditentukan sama ada pertuduhan hendak dibuat di bawah Kanun Keseksaan dan dibicarakan di Mahkamah Sivil atau di bawah Kanun Jenayah Syariah 2013 dan dibicarakan di Mahkamah Syariah?

Dalam hal ini eloklah kita merujuk kepada penjelasan yang diberikan oleh YB Peguam Negara Brunei dalam ceramah khasnya pada 30 April 2014. 

“B. Bagi kesalahan-kesalahan yang bertindih (Kesalahan di bawah bidangkuasa kedua-dua Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil)

(i) Penyiasatan

Penyiasatan kes-kes yang melibatkan kesalahan-kesalahan yang di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil seperti curi, rompak, bunuh, melakukan kecederaan dan rogol akan, seperti pada masa sekarang, dilapurkan kepada dan disiasat oleh Pasokan Polis Diraja Brunei dengan dibantu oleh Unit Penguatkuasa Agama dan agensi-agensi Penguatkuasaan Undang-Undang lain, jika berkenaan.

(ii) Penilaian Keterangan

Setelah penyiasatan selesai dijalankan, kertas siasatan akan dihadapkan bagi penelitian kepada Pendakwa Raya dengan dibantu oleh Ketua Pendakwa Syarie jika perlu. Penilaian akan dibuat sama ada terdapat keterangan yang mencukupi bagi pembuktian kesalahan-kesalahan di bawah Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah atau jika suspek ingin membuat pengakuan salah secara iqrar menurut Perintah Keterangan Mahkamah Syariah dan Perintah Kanun Peraturan Jenayah Syariah. Dalam hal yang sedemikian, maka kes tersebut akan dipindahkan ke Mahkamah Syariah dengan pendakwaan dibuat oleh Pendakwa Syarie dengan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya jika perlu. Jika sebaliknya, maka pendakwaan akan diteruskan di bawah Penal Code di Mahkamah Sivil.

Penjelasan

Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 akan terpakai jika mencukupi syarat-syarat yang dikehendaki oleh syarak, yang mana, kita telah difahamkan mempunyai piawaian pensabitan yang amat tinggi iaitu tanpa keraguan (beyond doubt). Oleh yang demikian, proses penyiasatan dan pendakwaan awal bagi jenayah-jenayah yang “overlapping” (bertindih) yang ada dikedua-dua Kanun Hukuman Jenayah (Penal Code) dan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 adalah seperti yang berjalan sekarang. Penilaian awal akan dibuat untuk menetapkan Mahkamah yang bersesuaian supaya seseorang itu tidak dibicarakan dua kali bagi kesalahan serupa (double jeopardy)….”

Mengikut ceramah khas Peguam Negara itu, penelitian keterangan dilakukan oleh Pendakwa Raya dengan bantuan Ketua Pendakwa Syar’ie, jika perlu.

Dalam hal ini, kita perlu merujuk kepada Perkara 81 (3) Perlembagaan Brunei dan Bab 25(2) Perintah Darurat (Mahkamah-Mahkamah Syariah) 1998 (Bab 25(2) Syariah Courts Act Chapter 184.)

Perkara 81 (3) Perlembagaan Brunei memperuntukkan:

“81. …

(3) Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan mengikut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang perbicaraan kerana sesuatu kesalahan selain dari —

(a) perbicaraan di hadapan sesebuah Mahkamah Syariah, tertakluk kepada peruntukan-peruntukan sebarang undang-undang bertulis yang bertentangan;”

Saya tidak menemui “peruntukan-peruntukan sebarang undang-undang bertulis yang bertentangan” dalam undang-undang berkenaan, maka, setakat yang saya dapat pastikan, kuasa Pendakwa Raya itu tidak termasuk perbicaraan di hadapan sesebuah Mahkamah Syariah.

Bab 25(2) Perintah Darurat (Mahkamah-Mahkamah Syariah) 1998 memperuntukkan:

(2) Ketua Pendakwa Syar’ie hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya bagi memulakan dan menjalankan mana-mana prosiding bagi sesuatu kesalahan di hadapan Mahkamah Syariah.”

(Bab 25(2) Syariah Courts Act Chapter 184, naskah Inggeris memperuntukkan: “(2) The Chief Syar’ie Prosecutor shall have powers exercisable at his discretion to commence and carry out any proceedings for an offence before a Syariah Court.”)

Saya percaya, pada masa kedua-dua undang-undang itu digubal, penggubal-penggubalnya tidak terfikir akan adanya kesalahan-kesalahan bertindih seperti yang ada pada hari ini. Memandang kepada peruntukan Perlembagaan dan Bab 25(2) Perintah Darurat (Mahkamah-Mahkamah Syariah) 1998 (Bab 25(2) Syariah Courts Act Chapter 184), pada pandangan saya, bagi kesalahan-kesalahan bertindih, kedua-dua Pendakwa Raya dan Ketua Pendakwa Syar’ie hendaklah membuat penelitian dan penentuan bersama (jointly) sama ada pertuduhan hendak dibuat di bawah Kanun Keseksaan dan dibicarakan di Mahkamah Sivil atau di bawah Kanun Jenayah Syariah 2013 dan dibicarakan di Mahkamah Syari’ah.

Untuk mengelak kemungkinan penentuan itu dicabar, terutama sekali jika seorang tertuduh yang bukan beragama Islam yang diwakili peguam dituduh di bawah Kanun Jenayah Syariah 2013 dan dibicarakan di Mahkamah Syariah, saya fikir, eloklah pindaan dibuat kepada Perlembagaan dan Bab 25(2) Perintah Darurat (Mahkamah-Mahkamah Syariah) 1998 dan Bab 25(2) Syariah Courts Act Chapter 184.) Pindaan itu adalah untuk menyatakan, bagi kesalahan-kesalahan bertindih, penentuan itu hendaklah dilakukan bersama oleh kedua-dua Pendakwa Raya dan Ketua Pendakwa Syar’ie.

Dalam membuat penentuan itu, mereka bolehlah menggunakan ujian yang di sebut oleh Peguam Negara dalam ceramah khasnya itu, iaitu, jika:terdapat keterangan yang mencukupi bagi pembuktian kesalahan-kesalahan di bawah Kanun Jenayah Syariah 2013; atau suspek ingin membuat pengakuan salah secara iqrar menurut Perintah Keterangan Mahkamah Syariah 2001 dan Perintah Kanun Peraturan Jenayah Syariah 2018,maka, pertuduhan akan dibuat di bawah Kanun Jenayah Syariah 2013 dan akan dibicarakan di Mahkamah Syariah

Ini tidak bererti bahawa Pendakwa Raya dan Ketua Pendakwa Syar’ie mesti melakukan tugas itu sendiri. Timbalan Pendakwa Raya dan Pendakwa Syar’ie boleh ditugaskan untuk melakukannya. Mereka boleh meminta bantuan (input) daripada Polis dan Penguatkuasa Ugama, jika diperlukan.

(Untuk mengelak kekeliruan, maka dijelaskan di sini, sebelum seseorang yang ditangkap itu dituduh di mahkamah, kita gunakan perkataan “suspek” bagi murujuk kepadanya; selepas dia dituduh tetapi sebelum dia disabitkan, kita gunakan perkataan “tertuduh”; selepas dia disabitkan, dia dirujuk sebagai “pesalah” dan apabila dia menjalani hukuman penjara dia akan dirujukkan sebagai “banduan”.)

Penentuan di bawah undang-undang mana pertuduhan sesuatu kes bertindih itu akan dibuat dan di mahkamah mana ia akan dibicarakan itu, ditentukan semasa tertuduh berada di dalam tahanan, iaitu di dalam lokap. Seperti dalam kes Mohd. Norazimi Fathullah, suspek tidak mempunyai nasihat peguam. Besar kemungkinan, dia ditanya oleh pegawai penyiasat sama ada dia hendak mengaku salah. Jika jawapannya “Ya”, sama ada dia hendak melakukannya melalui iqrar mengikut hukum syarak atau mengikut undang-undang sivil. Bagi seorang tertuduh berumur 18 tahun seperti dalam kes itu yang, besar kemungkinan, kena tangkap bagi kali pertama, kita tidak tahu apa yang bermain di kepalanya.

Pertama, mungkin dia telah merasa bersalah, berdosa, menyesal dan ingin bertaubat dan mengharapkan pengampunan Allah SWT. Untuk itu, mungkin dia berfikir bahawa Mahkamah Syariah adalah tempat yang sesuai berbanding dengan Mahkamah Sivil.

Kedua, dia selalu mendengar bahawa Mahkamah Sivil membicarakan kes-kes besar seperti kes bunuh dan rompak dan hukumannya termasuk hukuman mati dan rotan. Hukuman rotannya sangatlah menakutkan. Sebaliknya, Mahkamah Syariah membicarakan kes-kes kecil seperti khalwat dan hukuman rotannya pun hanya ibarat merotan budak-budak nakal.

Ketiga, oleh sebab Kanun Jejayah Syariah, 2013 hanya baru dilaksanakan, dia mungkin tidak tahu bahawa, selain daripada hukuman penjara dia boleh dikenakan hukuman arsy yang, jika dia tidak dapat bayar, dia akan dipenjara sehingga hutang itu dibayar yang bererti mungkin sehingga dia mati di dalam penjara. Sebaliknya, jika dia dibicarakan di Mahkamah Sivil, dia mungkin juga dikenakan hukuman rotan. Sebab itulah kedua-duanya perlu dijelaskan kepadanya supaya dia boleh membuat pilihan tanpa salah anggap.

Kes Ketua Pendakwa Syar’ie Lawan Abdul Hafiz Bin Hj Muhammad Irwan

Penghakiman ini bertarikh 9 September 2019, oleh itu ia adalah penghakiman bertulis pertama setakat yang kita tahu bagi kesalahan bertindih di bawah Kanun Jenayah Syariah 2013.

Kes ini dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah kerana suspek hendak mengaku salah melalui iqrar. Soalnya adakah dia diberi penjelasan mengenai perbezaan hukuman yang boleh dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Syariah, iaitu bayaran gantirugi kepada tuanpunya barang yang dicuri?

Mengikut penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi Syariah berkenaan, Tertuduh telah dikenakan tiga (3) pertuduhan sariqah di bawah Bab 55(3)(b) Kanun Jenayah Syariah, 2013.

“Ketika dibacakan pertuduhan, tertuduh mengakui mendengar dan faham pertuduhan dan akibat pertuduhan dan kemudiannya mengaku salah terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Pendakwa Syar’ie telah membaca fakta ringkas kesalahan bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut yang mengandungi nama Tertuduh, pengenalan dirinya serta butir-butir berkaitan pertuduhan termasuk tempat dan waktu berlaku serta wujudnya barang-barang curian (sariqah) di rumah Tertuduh dan elemen kesalahan yang diperlukan.

Berdasarkan fakta-fakta tersebut telah berlaku:

1. suatu perbuatan memindah dengan cara sembunyi-sembunyi;

i. harta alih berbentuk 1 tape double din, 3 meter kereta dan 1 bumper kereta hadapan milik mangsa bagi pertuduhan pertama,

ii. harta alih berbentuk 4 unit rim sport dan 4 biji tayar bagi pertuduhan kedua

iii. harta alih berbentuk 4 unit rim sport, 4 biji tayar dan 1 double din (radio tape) agi pertuduhan ketiga.

2. tanpa persetujuan tuan punyanya; dan

3. dengan niat hendak melucuthakkan harta itu daripada milikan tuan punyanya.

Tertuduh bersetuju dengan fakta-fakta yang dibentangkan Pihak Pendakwa Syar’ie tersebut. Setelah mendengar ikrar tertuduh terhadap pertuduhan serta meneliti fakta-fakta tersebut dan juga persetujuan tertuduh dengan fakta-fakta tersebut, Mahkamah telah mensabitkan ketiga-tiga kesalahan yang dipertuduhkan dan kemudiannya memberi kesempatan tertuduh bercakap kepada Mahkamah…”

YA Hakim mensabitkan kesalahan Tertuduh dan menjatuhkan hukuman berikut:

“1. Abdul Hafiz bin Haji Muhammad Irwan:

i. Penjara selama 12 bulan bagi kesalahan pertama.

ii. Penjara selama 12 bulan bagi kesalahan kedua.

iii. Penjara selama 12 bulan bagi kesalahan ketiga.

2. Hukuman penjara berjalan secara berturut-turut berjumlah 36 bulan.

3. Hukuman bermula daripada Pesalah ditahan dalam tahanan pihak polis iaitu pada 26 Ogos 2019.

4. Harta sariqah yang dikenal pasti oleh mangsa hendaklah dikembalikan kepada mangsa berkenaan.

5. Pesalah diperintahkan membayar ganti rugi kepada Tuan Punya barang sariqah iaitu bumper kereta yang telah dijual dengan nilai yang dibeli oleh Pemilik itu sebanyak $150.00. Jika

Pesalah tidak dapat membayarnya, maka ia adalah menjadi hutang atasnya.”

Kita perhatikan YA Hakim dalam kes ini telah menyebut dengan detail prosedur yang diikuti untuk memberi faham kepada Tertuduh mengenai pertuduhan itu sebelum mensabitkannya. Itu patut dipuji dan diikuti oleh Hakim-Hakim lain. Sayangnya, fakta ringkas yang diberi oleh Pendakwa Syar’ie tidak diperturunkan. Jika ia diperturunkan, tentulah kita akan mendapat gambaran yang lebih lengkap. Ini penting kerana ia akan menjadi precedent yang akan dianalisis sama ada boleh menjadi ikutan bagi kes-kes yang terkemudian.

Membaca penghakiman itu, selain daripada hukuman ganti rugi yang dikenakan, kita merasa seolah-olah kita membaca alasan penghakiman Mahkamah Sivil. Itu satu perkembangan yang baik dari segi penulisan penghakiman. Cuma bezanya, di Mahkamah Sivil kes-kes seperti itu hanya dibicarakan oleh Majistret, bukan Hakim Mahkamah Tinggi.

Mengenai hukuman, saya hanya ingin menarik perhatian kepada satu perkara iaitu perintah yang dibuat oleh Hakim, iaitu “Jika Pesalah tidak dapat membayarnya (ganti rugi – pengarang), maka ia adalah menjadi hutang ke atasnya.” Fahaman saya, ia adalah hutang yang boleh dituntut melalui proses mal, berlainan daripada arsy yang akan dibincang kemudian.

Kes Pendakwa Syarie lwn. Mohd. Norazimi Fathullah Bin Mohd. Safihi

Kes ini adalah kes pertama di bawah Kanun Jenayah Syariah, 2013 yang dibicarakan oleh Mahkamah Syariah dan yang kita mempunyai penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

Fakta kes yang kita ada tidak lebih daripada apa yang disebut dalam pertuduhan iaitu tertuduh, pada tarikh, waktu dan tempat berkenaan, telah menyebabkan kecederaan ke atas Asahrin bin Idris sehingga menyebabkan pecah tempurong kepalanya, dengan itu dia telah melakukan kesalahan di bawah bab 169(2)(a) Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 yang boleh dihukum di bawah bab 169(2)(ii) kanun yang sama.

Tertuduh mengaku bersalah melalui iqrar. YA Hakim menjatuhkan hukuman:

1.Penjara selama 5 tahun bermula dari tarikh Pesalah ditahan;

Pesalah diperintahkan membayar arsy kepada mangsa iaitu 1/3 daripada jumlah diyat penuh iaitu wang sejumlah $91,516.66 kepada mangsa.

3. Arsy hendaklah dibayar dalam tempoh tiga tahun secara beransur-ansur.Jika arsy gagal dibayar, Pesalah hendaklah dipenjara sehingga jumlah yang diperintahkan dibayar.

Setakat ini kes-kes yang dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi Syariah itu adalah kes-kes di mana tertuduh mengaku bersalah. Maka, penghakimannya hanyalah berkenaan hukuman. Kita tidak dapat melihat bagaimana prosedur perbicaraan dilaksanakan, pemakaian undang-undang keterangan, terutama sekali jika saksi itu seorang bukan Islam, bagaimana Hakim menganilisis keterangan saksi-saksi untuk membuat dapatan fakta (finding of facts). Apa yang kita dapat lihat dalam penghakiman ini adalah perbincangan undang-undang mengenai bidang kuasa, iqrar, dan hukuman.

Daripada penghakiman kes ini, kita tidak tahu bagaimana kejadian itu berlaku: sama ada Pesalah tiba-tiba memukul si-mangsa (dengan apa?); sama ada terdapat pertengkaran dan pergaduhan sebelum kecederaan itu dilakukan; siapa yang memulakan pertengkaran dan pergaduhan itu, jika ada; sama ada Pesalah juga cedera dan lain-lain, jika ada. Semua itu patut diambil kira dalam menetapkan hukuman.

Dalam penghakimannya, YA Hakim berkata:

“1. Pesalah adalah orang yang diterima ikrarnya di hadapan 

Mahkamah pada hari ini.

2. Saya berpuashati dengan semua bukti keterangan yang telah dikemukakan oleh pihak Pendakwa Syarie di dalam kes ini.

3. Saya berpuashati bahawa saya telah memberi peluang kepada Pesalah untuk bercakap atau membuat apa-apa permohonan sebelum hukuman dijatuhkan. Namun Pesalah tidak mengambil peluang tersebut walaupun telah diterangkan haknya dan diberikan ruang seluas-luasnya. Dari percakapan

Pesalah saya melihat Pesalah seolah-oleh tidak mempunyai perasaan langsung tentang kesalahan yang telah dilakukannya dan tidak menampakkan keinsafannya.”

Perenggan 1 lebih merupakan pengecaman Pesalah sebagai orang yang membuat iqrar, satu perkara yang tidak boleh dipertikaikan sebab ia dilakukan di hadapan Hakim berkenaan. Saya juga tidak mempertikaikan kelayakan Pesalah membuat iqrar mahupun keputusan Hakim menerimanya. Apa yang saya katakan ialah mengenai fakta kes (fakta ringkas yang diberi oleh Pendakwa Syar’ie) yang perlu diberi faham kepada tertuduh sebelum sabitan dibuat.

Saya percaya, perenggan 2 merujuk kepada perkara yang sama. Lebih lengkaplah penghakiman itu jika ia diperturunkan dalam penghakiman.

Perenggan 3 merujuk kepada apa yang dilakukan selepas sabitan, iaitu untuk meminta hukuman ringan. Komen saya ialah mengenai sebelum sabitan dirakamkan.

Kita juga tidak tahu sama ada sebelum menerima iqrarnya, tertuduh diberi penjelasan mengenai akibatnya, antara lain, dia boleh dihukum membayar arsy, yang jika jidak dibayarnya, dia boleh dihukum penjara sehingga dia membayarnya yang boleh bererti sehingga dia mati. Perlu difahami, kelayakan membuat iqrar di sisi syarak adalah satu perkara. Sama ada tertuduh tahu akibat memilih dibicarakan di Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah adalah satu perkara lain.

Mengenai hukuman yang dijatuhkan, saya cuma hendak menyentuh kesan perintah di perenggan 3 dan 4.

Mengenai perenggan 3, arsy hendaklah dibayar dalam tempoh tiga tahun secara beransur-ansur. Kita imbas kembali bahawa Pesalah adalah berumur 18 tahun semasa melakukan kesalahan itu. Dia dipenjarakan selama lima tahun mulai tarikh dia ditahan. Tidak ada keterangan apa kelulusan akademiknya; sama ada dia berkerja sebelum dia melakukan kesalahan; ibu bapanya masih hidup atau tidak; jika masih hidup apa pekerjaan bapanya dan lain-lain.

Biar apa pun, semenjak kejadian, Pesalah telah ditahan dan akan terus menjalani hukuman penjara selama lima tahun itu. Ertinya, sepanjang masa dia dipenjara dia tidak boleh berkerja, jika dia pernah berkerja pun. Soalan: Bagaimana dia akan membayar arsy itu dalam masa tiga tahun? Kita tidak tahu kedudukan kewangan ibu bapanya. Tetapi, saya berani berkata mereka tidak mampu membayar ansuran arsy sebanyak B$91,000.00 itu yang bersamaan B$1,516.60 (RM4,624.28) sebulan!

Mengenai perenggan 4, jika arsy gagal dibayar, Pesalah hendaklah dipenjara sehingga jumlah yang diperintahkan dibayar. YA Hakim merujuk kepada bab (Bab) 193(d) Perintah Kanun Peraturan Jenayah Mahkamah Syariah 2018 bagi membuat perintah itu. Tidak syak lagi bahawa bab berkenaan memberi kuasa itu kepada Hakim untuk berbuat demikian, ertinya hukuman itu adalah sah disisi undang-undang. Saya percaya demikian jugalah kedudukannya di sisi syarak.

Tetapi, kita perlu fikir mengenai akibatnya. Seperti yang saya hujahkan, besar kemungkinan Pesalah dalam kes ini tidak dapat membayar arsy itu dan akan menjalani hukuman penjara sehingga mati, daripada umur 18 tahun! Adakah itu kehendak (intention) syarak dan kehendak mahkamah? Saya khuatir, selepas Pesalah dimasukkan ke penjara, dia akan dilupakan. Setiap kali pegawai penjara menyemak kesnya, beliau dapati arsy belum dibayar dan hukuman mahkamah ialah dia akan dipenjara sehinga hukuman arsy terhadapnya selesai dibayar, maka dia akan terus dipenjarakan.

Kita tidak perlu menunggu NGO-NGO hak asasi manusia membangkitkan isu itu 30 tahun kemudian. Sekarang pun kita patut berfikir mengenainya. Saya fikir, biar apa pun kedudukannya mengikut pendapat fuqaha zaman silam, kita patut berani berijtihad semula, jika perlu, dan menetapkan had tempoh pemenjaraan kerana gagal membayar arsy seperti kegagalan membayar denda; dan juga apabila tempoh itu tamat, hutang (arsy) itu pun dianggap selesai. Saya syorkan undang-undang dipinda sedemikian.

Setakat ini pun kita telah dapat perhatikan adanya perbezaan antara sistem perundangan dan kehakiman syari’ah dan common law. Mengikut sistem common law England, kes jenayah adalah tindakan Raja (pemerintah) terhadap seseorang individu yang melanggar undang-undang negara yang dibuat untuk menjaga ketenteraman. Dia akan didakwa dan dihukum. Habis setakat itu.

Jika perbuatan jenayah itu menyebab kecederaan kepada seseorang individu, terserahlah kepada individu berkenaan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah itu dalam satu prosiding mal untuk mendapat pampasan. Pemerintah tidak masuk campur sebab perkara itu adalah antara mereka berdua.

Saya belum pernah temui satu kes demikian. Sebabnya, biasanya seorang penjenayah itu bukanlah berwang dan tidak mampu membayar ganti rugi. Untuk mengambil tindakan undang-undang memerlukan perkhidmatan peguam dan si-mangsa juga tidak mampu. Maka si-mangsa terpaksalah berpuas hati dengan pesalah menjalani hukuman penjara dan lain-lain.

Syari’ah, mungkin lebih tepat fiqh, melihat perbuatan jenayah dari kedua-dua sudut; pemerintah dan individu (mangsa). Ia menggunakan mahkamah yang sama, hakim yang sama dan prosiding yang sama untuk mencapai kedua-dua matlamat itu pada masa yang sama. Di akhir prosiding itu kedua-dua matlamat itu dicapai tanpa kos tambahan. Ia adalah satu sistem yang baik. Tetapi, sama ada sistem itu berjaya terletak kepada kemampuan pesalah membayar arsy.

Dalam masyarakat Arab, terutama sekali di zaman dahulu, yang berasaskan kabilah (tribe) yang kuat, seluruh kabilah akan menyumbang untuk membayarnya. Masyarakat Melayu tidak berasaskan kabilah. Adik beradik seibu sebapa pun tidak akan tampil membantu, jika perlu mengeluarkan wang. Tetapi, saya yakin mereka akan berebut menuntut diyat jika ada saudara mara dibunuh oleh orang mampu membayar diyat. Sebab itu, saya menunggu untuk melihat bagaimana sistem diyat akan terlaksana dalam masyarakat Melayu.

Setakat ini masih terlalu awal untuk kita mengatakan sama ada sistem arsy akan berjaya dalam masyarakat Melayu. Sebaliknya, kita sudah nampak kemungkinan Pesalah berumur 18 tahun itu akan tua dan mati dalam penjara melainkan ada mana mana badan amal yang akan membayar bagi pihaknya atau dia menerima pengampunan daripada KDYMM Baginda Sultan atau undang-undang dipinda untuk memansuh hukuman penjara kerana tidak dapat membayar arsy atau menghadkan tempoh pemenjaraan itu.

Patutkah badan amal atau Baitul Mal membayarnya? Saya fikir tidak. Ia bererti kita menyokong, jika tidak pun menggalakkan, perbuatan jenayah.

Bagaimana dengan takaful? Apakah ertinya jika seseorang itu mengambil takaful untuk membayar arsynya? Ertinya dia mengambil takaful kerana dia berniat hendak melakukan kesalahan jenayah mencederakan orang. Bolehkah syarikat takaful menanggung liabiliti seperti itu? Syarikat insurans konvensional pun tidak boleh berbuat demikian kerana ia tidak boleh menanggung perbuatan jenayah.

Insurans atau takaful kenderaan bermotor adalah berlainan. Ia diambil atas asas jika kereta itu terlibat dalam kemalangan hingga menyebabkan kerosakan dan kecedraan dan pemandu kereta itu cuai, maka syarikat insurans atau takaful itu akan menanggung liabilitinya. Asasnya adalah kemalangan bukan perbuatan jeyayah yang disenghajakan.

Patutkah ia dibayar dengan wang zakat? Saya bukan seorang fukaha, tetapi saya fikir wang zakat tidak boleh digunakan untuk tujuan itu kerana saya tidak fikir ia termasuk di bawah mana-mana asnaf di samping ia bererti menyokong perbuatan jenayah.

Bagaimana jika kerajaan menggunakan wang cukai untuk membayarnya? Saya juga tidak bersetuju kerana pembayar cukai tidak sepatutnya menanggung akibat perbuatan jenayah seseorang dan secara tidak langsung menggalakkan jenayah.

Sebaliknya, jika akibat dari kecederaan tersebut, si-mangsa tidak dapat mencari nafkah, kerajaan, melalui jabatan kebajikan masyarakatnya, menganggapnya sesuai untuk membantunya, itu adalah perkara lain.

Kesimpulan

Setakat ini, belum ada kes hudud yang dibicarakan. Yang ada hanyalah beberapa kes kesalahan sariqah (mencuri) yang telah dijatuhkan hukuman takzir (penjara) dan satu kes menyebabkan kecederaan qisas yang dijatuhkan hukuman arsy dan penjara. Kes-kes itu dibawa ke Makamah Tinggi Syariah kerana tertuduh hendak mengaku bersalah melalui iqrar.

Bagi kesalahan-kesalahan bertindih, kedua-dua Pendakwa Raya dan Ketua Pendakwa Syar’ie hendaklah membuat penelitian dan penentuan bersama (jointly) sama ada pertuduhan hendak dibuat di bawah Kanun Keseksaan dan dibicarakan di Mahkamah Sivil atau di bawah Kanun Jenayah Syariah, 2013 dan dibicarakan di Mahkamah Syariah. Untuk mengelak penentuan itu dicabar, undang-undang berkenaan eloklah dipinda untuk menyatakan seperti itu.

Peruntukan undang-undang bahawa seseorang tertuduh boleh dihukum penjara kerana tidak membayar arsy sehingga arsy dibayar sepenuhnya perlu dikaji semula. Saya syorkan, ia diganti dengan penjara yang tidak melebihi suatu tempoh yang ditetapkan oleh Hakim dalam lingkungan had yang ditetapkan oleh undang-undang dan apabila tempoh yang dikenakan oleh Hakim itu selesai dijalani, hutangnya (arsy) dianggap sebagai telah selesai dibayar, sama seperti denda.

Peruntukan ini hanya bagi kes di mana pesalah tidak berupaya membayar arsy dan tidak mempunyai harta. Jika dia mempunyai harta, hartanya boleh disita dan dijual untuk membayar hutangnya (arsy) itu. Peruntukan itu telah pun ada.

Sebelum seseorang suspek yang, pada masa itu, berada di bawah tahanan Polis, membuat keputusan sama ada dia hendak mengaku bersalah atau tidak dan, jika “ya”, sama ada di Mahkamah Sivil atau melalui iqrar di Mahkamah Syariah, penjelasan hendaklah diberi kepadanya mengenai perbezaan hukuman yang mungkin dikenakan ke atasnya oleh mahkamah-mahkamah itu.

Walaupun penghakiman-penghakiman Mahkamah Tinggi Syariah berkenaan adalah baik (mengenai penghakiman Mahkamah Rayuan Syariah tidaklah perlu disebut), tetapi untuk lebih lengkap eloklah fakta kes diperturunkan dalam penghakiman dan setiap langkah yang dilakukan daripada pertuduhan dibaca hingga hukuman dijatuhkan, direkod dengan detail dan diperturunkan dalam penghakiman.

Kita menunggu untuk melihat perjalanan kes-kes, termasuklah kes-kes hudud, di mana tertuduh meminta dibicarakan dan diwakili peguam. Pada masa itu barulah kita dapat melihat kesediaan penyiasat, pendakwa dan hakim dalam melaksanakan tugas-tugas mereka masing-masing.

Kita mesti menerima hakikat bahawa undang-undang apa sekalipun, termasuk undang-undang yang diwahyukan Allah SWT, selagi ia dilaksanakan oleh manusia, kemungkinan berlakunya ketidakadilan yang tidak disenghajakan tetap ada. Maka, usaha hendaklah senentiasa dilakukan untuk menambahbaikkan pelaksanaannya.

09 09 2020


NOTA:
Saya berterima kasih kepada Tuan Hj Suhaimi Hj Gemok kerana telah mendapatkan saya penghakiman-penghakiman mahkamah, undang-undang berkenaan dan ucapan YB Peguam Negara untuk membolehkan saya menulis rencana ini. Biar apa pun, semua pandangan dalam rencana ini adalah pandangan saya berdasarkan fakta-fakta yang ada pada saya, pemahaman saya dan hujah-hujah saya. Jika fakta-fakta atau pemahaman saya silap, sudilah perbetulkan. Jika ada hujah-hujah yang lebih baik, saya juga akan mengikutinya
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post