Rang Undang-undang Perbekalan 2020 Lulus Dengan Majoriti 5 Undi

PETALING JAYA: Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim hari ini mempersoalkan sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh bertahan selepas hanya mendapat sokongan 111 ahli Parlimen dalam pengundian Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, kewibawaan kerajaan PN hari ini sekali lagi menjadi persoalan susulan pertikaian selepas proses undian itu.

“Adakah kerajaan ini boleh bertahan hanya dengan 111 sokongan ahli Parlimen atau akan ada lagi episod sogokan dengan segala ugutan dan tawaran pangkat atau jawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sidang Dewan Rakyat hari ini ditangguh 10 minit sebelum undi belah bagi usul RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 berjalan.

Speaker Azhar Harun keluar Dewan Rakyat seketika, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati wakil pembangkang.

Semasa pengundian dijalankan 111 ahli Parlimen bersetuju meluluskan RUU itu, manakala 106 tidak bersetuju.

Azhar berkata, 5 ahli Parlimen tidak hadir.

Lima ahli Parlimen yang tidak hadir ialah Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang), Maximus Ongkili (PBS-Kota Marudu), Shafie Apdal (Warisan-Semporna), Wilfred Madius Tangau (Upko-Tuaran) dan Christina Liew (PH-Tawau)

Dalam pada itu, Anwar, berkata Pakatan Harapan (PH) tidak akan berundur dalam perjuangan, sebaliknya akan terus mempertahankan mandat rakyat dengan semangat, kekuatan dan setiakawan baru.

Beliau berkata, PH juga bertekad untuk terus berusaha menjadi suara rakyat di Parlimen, sambil meneruskan ikhtiar mengembalikan mandat rakyat.

“PH turut berpuas hati dengan alasan yang diberikan 3 orang ahli Parlimen yang tidak hadir semasa proses undian hari ini kerana sibuk dengan urusan pilihan raya negeri Sabah yang akan berlangsung kelak,” katanya.

RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 menyaksikan kerajaan meminta peruntukan sebanyak RM7.18 bilion. - FMT
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post