Dunia perlu hindari vaksin nasionalisme: WHO


GENEVA, 19 Ogos -- Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Selasa berkata dunia perlu mencegah vaksin nasionalisme untuk menjamin akses dan peruntukan yang adil terhadap vaksin COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.

Bercakap pada taklimat media secara maya dari Geneva, beliau berkata sebaik vaksin berjaya dikenal pasti, kumpulan penasihat strategik WHO akan menyediakan cadangan penggunaannya yang sesuai dan adil.

Beliau memberitahu wartawan pengagihan vaksin diusulkan untuk dilaksanakan menerusi dua fasa.

Pada fasa pertama, katanya, dos akan diagihkan secara berkadar dan serentak kepada semua negara terlibat dalam rancangan pembangunan vaksin yang dipimpin WHO, bagi mengurangkan risiko keseluruhan.

Fasa kedua pula, pertimbangan akan diberikan kepada negara-negara yang terdedah kepada ancaman dan berisiko tinggi.

"Bagi kebanyakan negara, peruntukan fasa pertama dibangunkan untuk 20 peratus populasi, sebahagian besar merangkumi kumpulan berisiko," katanya.

Beliau menekankan, apabila yang berisiko tinggi dijangkiti virus walau di mana jua berada dan pada masa sama mereka dilindungi, maka dunia akan dapat menstabilkan sistem kesihatan serta membangunkan semula ekonomi global.

"Seperti orkestra, kita memerlukan semua instrumen dimainkan secara harmoni untuk menghasilkan muzik yang boleh dinikmati semua orang," katanya.

-- BERNAMA
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post