NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Najib bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan berhubung dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.‬

‪Keputusan disampaikan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Najib didapati bersalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mahkamah mendapati pasukan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pasukan pendakwaan bagi tuduhan salah guna kuasa.

"Kesimpulannya, dalam penghakiman saya, setelah mempertimbangkan semua bukti yang dikemukakan di mahkamah ini, saya dapati pihak pembelaan tidak berjaya membantah anggapan mengenai keseimbangan kemungkinan atau menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan terhadap tertuduh di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009," kata Mohd Nazlan.

Ikuti LAPOR LANGSUNG perkembangan dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Najib didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan mendapatkan suapan RM42 juta apabila terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan dalam memberikan jaminan kerajaan terhadap pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan kepada SRC International.

Najib didapati melakukan kesalahan itu di antara Disember 2014 dan Mac 2015 di Bangunan Ambank Group Jalan Raja Chulan, ibu negara.

Bagi tuduhan pengubahan wang haram, dia didapati bersalah menerima RM42 juta hasil aktiviti haram melalui sistem yang dipindahkan mengikut sistem pemindahan dana dan sekuriti secara elektronik masa nyata (RENTAS) dan didepositkan ke dalam akaun peribadi miliknya di AmIslamic Bank Berhad.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Najib diwakili Peguam Bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk V Sithambaram.

Terdahulu, Najib tiba di pekarangan Mahkamah pada pukul 9.30 pagi Selasa diiringi peguam dan penyokongnya.

Hadir sama menemani Ahli Parlimen Pekan itu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/najib-bersalah-atas-tujuh-pertuduhan-berkaitan-dana-src-international-253029

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo