Gerakan beri amaran jangan paksa bukan Islam belajar Jawi


PULAU PINANG, 19 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong bertegas, mahu menentang habis-habisan jika orang bukan Islam disuruh untuk mempelajari tulisan Jawi.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri bahawa hari Jumaat diumumkan sebagai 'Hari Jawi' bermula, semalam.

Dr Zulkifli berkata, bagi menzahirkan iltizam memartabatkan tulisan Jawi, kepala surat rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menggunakan tulisan Jawi bagi urusan rasmi.

Beliau turut menyeru seluruh kementerian, jabatan, agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam usaha memelihara warisan negara ini

Tidak berpuas hati dengan perkara itu, Tong Keong memberi hujah bahawa, Perlembagaan Malaysia dengan jelas menetapkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara.

"Mengapa menteri ini perlu membangkitkan isu penggunaan Jawi. Ini menunjukkan pihak sana ada agenda yang lebih besar tersembunyi di belakang tabir.

"Malaysia ialah sebuah negara majmuk, kalau beliau berpendapat setelah mendapat kelulusan Kabinet, beliau boleh menyebarkannya (Jawi) kepada orang bukan Islam, mereka telah membuat kesilapan besar.

"Gerakan bakal bersungguh-sungguh menghalang muslihat ini," katanya seperti dilapor portal berbahasa Cina, Oriental Daily.

Tong Keong yang juga merupakan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang berkata, sebelum ini pemimpin PAS telah berterusan mencetuskan ketidakpuasan hati orang bukan Islam.

Namun kini, katanya, bekas Mufti Wilayah Persekutuan yang telah menyertai Kabinet pula berbuat demikian.

"Walaupun Zulkifli tidak menyertai Kabinet atas tiket PAS, tetapi menilai dari tutur kata dan perlakuannya, tiada beza dengan pemimpin PAS yang ekstrem dan selalu memainkan isu perkauman.

"Kalau beliau mahu mengikut jejak pemimpin PAS, maka bersedialah menghadapi akibatnya," katanya memberi amaran.

Tong Keong juga mengingatkan Dr Zulkifli jika ia Hari Jawi adalah gerakan yang bermatlamat untuk menggalakkan penggunaan Jawi, maka ia hanya patut melibatkan orang Islam sahaja.

"Jika niat beliau ialah untuk memaksa orang bukan Islam terlibat sama, Gerakan akan menentang habis-habisan.

"Pada zahirnya Dr Zulkifli berkata bahawa matlamatnya adalah untuk menggalakkan penggunaan Jawi tetapi kita tidak tahu apa yang beliau akan lakukan secara tersembunyi," katanya.

Sumber: https://ismaweb.net/2020/07/11/1gerakan-beri-amaran-jangan-paksa-bukan-islam-belajar-jawi/
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post