NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BN Terengganu hasrat tanding semua kerusi Parlimen, DUN


KUALA TERENGGANU - Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, parti itu bersedia untuk bertanding di semua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi balas terhadap kenyataan beberapa pemimpin Pas Terengganu sebelum ini, termasuk kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menyatakan hasrat mempertahankan enam kerusi Parlimen yang dimenangi Pas dalam PRU14 lalu.

Menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Terengganu itu sebagai pendapat peribadinya, Ahmad menjelaskan, beliau sendiri mempunyai hasrat tersendiri, iaitu Barisan Nasional (BN) bertanding di semua kerusi dalam PRU15 nanti.

“Setahu saya, masih lagi belum ada berbincang mengenai pengagihan kerusi, kerana selama ini hanya tentang ‘terms of reference’. Bagi saya, kenyataan Dr Samsuri sebagai Naib Presiden dan kenyataan peribadinya adalah premature (pramatang).

“Maknanya ini dah menjadi hasrat dia, sasaran dia walaupun belum ada rundingan (walaupun) kemudian kata ‘wishlist’ akan dikemukakan. Jadi, saya kata itu pendapat peribadi beliau dan sekiranya pendapat peribadi ini diambil kira, saya boleh kata ini pendapat peribadi saya.

“Kalau dia kata bertanding di enam Parlimen, saya tak ada pilihan, di Terengganu BN akan bertanding di semua lapan Parlimen,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Persidangan UMNO cawangan Pulau Manis, malam tadi.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, salah seorang Exco Terengganu (wakil rakyat Pas) juga ada menyatakan Pas akan turut mempertahankan 22 kerusi DUN yang dimenangi parti itu.

Ahmad berkata, sekiranya itu adalah pendapat peribadi wakil rakyat Pas itu, beliau juga dengan pendiriannya untuk bertanding di semua 32 kerusi DUN di Terengganu.

“Takut apa? Sebab di Terengganu, Kelantan dan Kedah adalah negeri (majoriti) Melayu. Pas atau UMNO menang, tetap negeri Melayu. Yang penting, biar Perikatan Nasional (PN) memerintah dahulu.

“Sebab itu kita kata bubar Parlimen dulu, tanding di peringkat Putrajaya. Kemudian di DUN, kita lawan sesama sendiri. Siapa yang lebih, dia yang akan menjadi kerajaan. Takut apa? Kita sudah biasa lawan. Kalau atau menang perkara biasa,” katanya.

Jelas Ahmad, kenyataannya berasas kerana sebagai contoh, Parlimen Kemaman adalah kerusi tradisi UMNO dan menang dengan majoriti kedua tertinggi di Pantai Timur selepas Parlimen Pekan, sebelum tewas pada PRU14 kerana faktor Tun Dr Mahathir Mohamad, Pakatan Harapan (PH) dan perpecahan dalam kalangan UMNO.

Mengulas mengenai agihan kerusi, beliau berkata, setakat ini rundingan berhubung perkara itu masih belum dibincangkan.

“Mesyuarat di peringkat negeri dan bahagian juga masih belum dilakukan,” katanya.

Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen, dengan enam daripadanya dimenangi Pas iaitu Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman.

UMNO memenangi dua kerusi iaitu Besut dan Hulu Terengganu, namun kerusi Hulu Terengganu kemudiannya berpindah menjadi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) setelah Datuk Rosol Wahid isytihar keluar parti dan menyertai Bersatu.

Manakala bagi kerusi DUN, Pas memenangi 22 kerusi manakala 10 kerusi lagi dimenangi BN dalam PRU14.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/94333/BERITA/Politik/BN-Terengganu-hasrat-tanding-semua-kerusi-Parlimen-DUN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo