NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu Buka Peluang Kepada Siswazah Jadi Petani Profesional



Oleh : Hidayah Azlin 

SETIU, 13 Jun – Kerajaan Terengganu menerusi Jabatan Pertanian Negeri membuka peluang seluas-luasnya kepada siswazah yang sedang mencari pekerjaan  untuk menceburi bidang pertanian termasuk sebagai pencantum pokok profesional.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, peluang tersebut dibuka untuk sesiapa sahaja yang berminat belajar dan menceburkan diri dalam sektor berkenaan.

"Jabatan Pertanian Negeri menjemput sesiapa yang berminat terutamanya siswazah menganggur untuk menceburi bidang pertanian khususnya menjadi pencantum pokok secara profesional.

"Selepas menjalani kursus secara intensif, pencantum-pencantum profesional ini akan membantu pekebun-pekebun atau pemilik pokok durian, mangga dan lain-lain tanaman bagi menjana pendapatan sendiri yang lebih lumayan dalam Program Pemulihan Dusun yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

Tambah beliau, kaedah cantuman dewasa ini boleh dipraktikan untuk semua pokok seperti nangka biasa boleh dijadikan nangka madu.

"Syaratnya mesti dari 'keluarga' yang sama. Tidak boleh nak cantum mempelam supaya berbuah durian.

"Pokok durian kampung tidak perlu ditebang untuk tanam 'Musang King'. Pokok mempelam biasa juga tidak perlu dibuang untuk tanam Harum Manis. Pokok  asal boleh dikekalkan.

"Yang perlu ialah tunas 'Musang King' atau tunas Harum Manis kita cantumkan pada pokok asal dengan kaedah cantuman dewasa. Maka insya-Allah akan berbuah pokok tersebut dengan 'Musang King' atau Harum Manis," jelasnya lagi.

Sehubungan dengan itu, bagi yang berminat untuk berkecimpung dalam bidang itu, boleh berhubung dengan Pejabat Pertanian Daerah terdekat sekitar Terengganu bagi proses temuduga terbuka atau pertanyaan.

"Kursus tersebut akan dijalankan dalam masa terdekat. Percuma sahaja asalkan minat nak belajar," ujar Dr Azman.

Sumber: https://www.teganukita.net/2020/06/terengganu-buka-peluang-kepada-siswazah.html

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo