NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Chini – Bayangan Calon Semakin Jelas



Tarikh 18 Jun 2020 dipilih BN untuk memperkenalkan calon mereka dalam Pilihanraya Kecil Dun Chini yang dijadualkan pada 4 Julai 2020. Suruhanjaya Pilihanraya menetapkan tarikh tersebut berikutan kematian penyandang kerusi Allahyarham Dato Sri Abu Bakar.

Walau ada desas desus 4 orang calon disenarai awal namun kata putus belum dimuktamadkan kepimpinan tertinggi BN. Dalam pada itu, PAS memberi laluan kepada Umno untuk meletakkan calon mereka sebagaimana dipersetujui dalam kerjasama Muafakat Nasional.

Bagaimanapun ada sumber menyatakan kejutan bakal berlaku semasa majlis memperkenalkan calon BN. Selain daripada 4 nama yang digambarkan, ada 1 lagi nama baru berada dalam radar dan mempunyai kelayakan yang sangat baik untuk diketengahkan sebagai calon BN.

Berpendidikan agak baik dan mempunyai Ijazah Sarjana Muda dan Sijil Komunikasi, nama yang berlegar merupakan anak tempatan. Mendapat pendidikan awal di Pekan, calon tersebut ada faktor pergaulan yang sangat menyenangkan kepada masyarakat setempat. Mengikut sumber lagi, calon ini boleh di terima semua golongan dari muda sampai yang tua dan ini merupakan kelebihan beliau. Bagaimanapun semua keputusan akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi Umno dan BN.

Siapakah calon tersebut? Pada awal memang tiada kedengaran langsung nama beliau namun mungkin ada pertimbangan tertentu diambil kira nama beliau timbul. Pengundi Dun Chini sudah pasti tertunggu-tunggu siapakah bakal Yang Berhormat baru untuk mereka dan sudah tentu pengundi mahukan yang terbaik. Walau Parti Keadilan Rakyat menerusi Setiausaha Agung PKR memaklumkan mereka tidak akan bertanding, ada calon bebas menawarkan diri dan bersedia bertanding.

Menteri Besar Pahang YAB Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyambut baik hasrat PKR yang enggan bertanding dan menyeru sebolehnya elakkan sebarang pertandingan memandangkan pandemik covid19 belum berakhir. Dalam pada itu Parti Amanah Negara juga menyatakan mereka tidak berhasrat bertanding kerusi Dun Chini memandangkan Chini bukan kerusi tradisi parti itu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo