Kerajaan Shafie Goyang, Siapa Ketua Menteri Baharu Sabah?


Oleh : Sahimin Mustapah

Ketika masyarakat peribumi Sarawak sedang merayakan Hari Gawai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.47 Kuamut YB Datuk Masiung Banah telah membayangkan sesuatu akan berlaku melalui ciapan di facebook beliau yang berkemungkinan besar akan bertukar jenama dalam masa seminggu. Ciapan Masiung mendapat perhatian para netizen di Sabah apakah ianya benar-benar akan berlaku? Walaupun tempoh seminggu telah berlalu dengan tanpa apa-apa kejadian namun bak kata pepatah melayu mengatakan kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang. Lebih kurang seminggu selepas ciapan Datuk Masiung, tersebar desas desus mengatakan kononnya empat Ahli Parlimen Sabah akan “melompat” menyokong Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional. Keributan ini nampaknya benar-benar menggoncang politik Sabah sehingga Ketua Menteri Datuk Shafie Apdal terpaksa sekali lagi memanggil kesemua ADUN dan Ahli Parlimen PH Plus hadir ke mesyuarat tertutup di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), bagi menyatakan ikrar dan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Shafie Apdal. Mesyuarat tersebut melibatkan semua wakil rakyat Warisan, Upko, DAP dan PKR berlanjutan sehingga 5 jam bermula jam 10.30 pagi. Kesemua wakil rakyat hadir kecuali Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan), Silam Datuk Mohamaddin Haji Ketapi (Warisan), ADUN Elopura Calvin Chong (DAP), ADUN Kuala Penyu Datuk Limus Jury (Upko) and ADUN Sugut Datuk James Ratib (Upko), hadir. Parti Warisan memiliki sembilan Ahli Parlimen termasuk Shafie, sementara Upko satu, DAP tiga dan PKR dua daripada 25 Ahli Parlimen Sabah. Manakala Dewan Undangan Negeri (DUN) , Warisan mempunyai 31, Upko 4, DAP 6 and PKR 2 daripada 60 DUN. Kehadiran semua wakil rakyat pada mesyuarat tersebut menunjukkan kedudukan Shafie masih kukuh bagi mempertahankan kerajaan Warisan.

Dalam sidang media tersebut, Shafie nampaknya tidak dapat mengawal emosi beliau dengan mendakwa terdapat grand plan untuk menjatuhkan kerajaan Warisan dengan tawaran wang dan lain-lain tawaran untuk membeli wakil rakyat beliau. Dengan tegas, pihaknya bersedia menentang sebarang anasir yang dilihat cuba memporak-porandakan negeri itu sehingga mengheret kepada konflik politik.

"Jika mahu memporak-perandakan Sabah, jika kamu mahu lawan, kita akan lawan,".

Sehari sebelum perjumpaan Datuk Shafie dengan semua wakil rakyat Sabah, seteru politik beliau, Tan Sri Musa Haji Aman telah dibebaskan daripada 46 tuduhan rasuah oleh Mahkamah Tinggi. Datuk Shafie menegaskan pihaknya tidak akan berdiam diri selepas bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Haji Aman dibebaskan dari pertuduhan rasuah oleh mahkamah pada Selasa. Meskipun keputusan tersebut memihak kepada seteru politiknya, usaha itu (memerangi rasuah) tidak akan terhenti di situ. "Kita tahu apa yang akan dilakukan, pasal kita bukan berhenti di situ sahaja, tidak bererti bila keadaan itu terlepas kita akur, untuk maklumanlah,". Diantara yang akan dilakukan oleh pihaknya ialah perkara membabitkan kes-kes rasuah seperti di Jabatan Air Sabah beberapa tahun lalu melibatkan kehilangan wang jutaan ringgit.

Dalam masa yang sama Shafie mempersoalkan tindakan yang dilakukan terhadap orang kanan beliau YB Datuk Peter Anthony. "Yang contoh macam Datuk Peter (Anthony) kena tangkap, I don't want to dispute, tetapi nampakkah duit itu?, di rumah diakah?, di pejabat diakah?, di kereta diakah?”. Datuk Peter adalah Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah merupakan Naib Presiden Parti Warisan Sabah dan ADUN Melalap. Peter berdepan lima pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan dana RM8.75 juta pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), iaitu dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, manakala tiga pertuduhan lain membabitkan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. Bagaimanapun, Peter dibenarkan ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan dua penjamin tempatan.

Siapa Ketua Menteri baharu Sabah?
Ketika ditanya tentang ketidakhadiran beberapa orang wakil rakyat dalam mesyuarat tersebut Shafie menjawab “walaupun ada yang tidak dapat hadir di sini hari ini jumlah mereka sedikit dan mereka telah memaklumkan kepada saya untuk tidak risau”. Ternyata ketidakhadiran dua orang wakil rakyat Upko di mesyuarat tersebut memberi petanda yang tidak baik kepada kerajaan Warisan. Semalam dalam satu sidang akhbar, dua wakil rakyat Upko, Datuk Limus Jury dan Datuk James Ratib masing-masing mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta. Limus adalah ADUN Kuala Penyu merupakan Naib Presiden Upko manakala James ADUN Sugut merupakan Ahli Majlis Tertinggi Upko. Tindakan dua wakil rakyat Upko ini seperti membenarkan apa yang pernah dibayangi oleh ADUN Kuamut dan kebimbangan kerajaan Warisan sehinggakan terpaksa beberapa kali mengadakan mesyuarat taat setia kepada Ketua Menteri Datuk Shafie Apdal benar-benar membimbangkan.

Dalam sidang media tersebut ADUN Sugut Datuk James memberitahu "Saya yakin dalam sehari dua ini, lebih ramai akan menyusul keluar dari parti,". Nampaknya hari demi hari kedudukan kerajaan Warisan semakin goyah. Ada sumber memberitahu parti pembangkang Sabah sudah mempunyai ADUN yang mencukupi bagi mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri daripada gabungan PH Plus Sabah. Hanya menunggu masa yang sesuai untuk bertindak menyeberang ke kapal lain. Sehingga kini pembangkang mempunyai 20 ADUN termasuk seorang ADUN dilantik daripada PKR yang telah mengisytihar keluar parti pada bulan februari. PH Plus Sabah memiliki 45 ADUN termasuk 4 ADUN dilantik (Warisan 2, Upko 1, DAP 1). Ini bermakna pembangkang memerlukan sekurang-kurangnya 14 ADUN lagi bagi membolehkan mereka mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri Sabah.

ADUN dilantik (6 kerusi)
1. Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Upko)
2. Terrence Siambun (Warisan)
3. Loreto Padua Sipin Jr. (Warisan)
4. Jaffari Waliam (PKR) – keluar PKR 28/2/2020
5. Loh Ee Eng (DAP)
6. Kosong

Jika kita renung kembali disaat kejatuhan Tan Sri Musa selepas mengangkat sumpah Ketua Menteri, alasan yang diberikan oleh wakil rakyat BN menyokong Datuk Shafie Apdal adalah faktor perubahan kerajaan Pusat oleh Pakatan Harapan (PH). Bagi mereka agak sukar memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat sekiranya menjadi wakil rakyat pembangkang. Alasan yang sama jugalah diberikan oleh kedua wakil rakyat UPKO kelmarin. Bagi mereka apabila kerajaan negeri Sabah mengambil sikap tidak mahu bersama dengan Kerajaan Pusat pimpinan Tan Sri Muhyidin Yassin, adalah sukar untuk membawa pembangunan di kawasan mereka.

Timbul persoalan jika ditakdirkan kerajaan Warisan tumbang siapakah calon Ketua Menteri Sabah yang baharu? Jika kita teliti kepada kedudukan kerusi terkini maka ADUN daripada parti Bersatu berpotensi dicalonkan Ketua Menteri Sabah yang ke-15. Jika fomula parti terbanyak diguna pakai seperti mana yang diamalkan di semenanjung maka Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor paling layak. Bagaimana pula dengan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Haji Aman? Beliau dikatakan Man behind the scene atau arkitek sebenar dibalik tabir drama politik Sabah pasca PRU-14. Ada sumber mengatakan Musa akan kembali menjadi Ketua Menteri untuk tempoh tertentu dan kemudiannya dilantik menjadi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin. Musa juga dikatakan lebih favour bekas Ketua Setiausaha Politik beliau ADUN Apas, YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan mengisi kerusi Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Hanya masa dan takdir Allah sahaja yang menentukan.

***Sahimin Mustapah adalah pemerhati politik berpengkalan di kota kinabalu, sabah

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post