Kecerdasan spiritual menghadapi COVID-19


oleh: Samhani Ismail, PhD

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia dijangka mengakibatkan beberapa peningkatan masalah mental seperti ketakutan, kebimbangan dan trauma. Bukan sahaja pesakit, ahli keluarga serta perawat turut terkesan ekoran wabak pandemik yang menyerang hampir seluruh dunia dan mengakibatkan pelbagai implikasi kesihatan, ekonomi dan sosial.

Walaupun ramai yang menganggap bahawa masalah mental berpunca daripada faktor-faktor biologi seperti hormon dan kecelaruan neurotransmitter, namun faktor-faktor ini bukan menjadi penyebab tunggal. Lantaran di dekad-dekad akhir ini psikologi moden telah menerima wujudnya konsep kerohanian, kejiwaan ataupun spiritualiti sebagai salah satu teras minda, kini permasalahan mental turut dikaitkan dengan spiritualiti.

Perkara ini sebenarnya telah lama termaktub di dalam naskhah-naskhah ulama silam, namun ia terpinggir lantaran penolakan oleh sains moden. Kini, gagasan spiritualiti kembali diberi perhatian oleh para saintis serta pengamal perubatan.

Sebagaimana dilaporkan di dalam artikel oleh Harold G. Koenig (2012) di dalam artikel beliau yang bertajuk, ‘Religion, Spirituality and Health: The research and Clinical Implication’, kehadiran ke upacara keagamaan berkait rapat dengan kesihatan tubuh badan, minda dan perhubungan sosial. Kekuatan spiritualiti meningkatkan kesihatan kardiovaskular dan didapati kadar tekanan adalah lebih rendah pada individu yang lebih beragama atau cerdas spiritualiti mereka. Kajian terkini turut menunjukkan perkembangan pada sudut kognitif pesakit dementia dan mereka yang telah lanjut usia. Daripada sudut imuniti pula, amalan keagamaan ataupun spiritual mempunyai hubungan positif dengan sistem imuniti di mana bilangan sel darah putih, kadar limfosit, kadar sel T dan aktiviti sitotoksisiti sel T turut meningkat.

Tekanan mental yang mengakibatkan pelepasan hormon-hormon stress seperti kortisol, epinefrin dan norepnefrin yang memberi kesan kepada imuniti dan sistem kardiovaskular turut berkurang ekoran amalan keagamaan dan spiritualiti. Inividu yang beragama atau lebih cerdas spiritual mereka berhadapan dengan risiko yang rendah untuk mendapat kanser dan turut mempunyai prognosis (kadar kesembuhan) yang lebih baik. Amalan keagamaan didapati turut merendahkan rasa sakit pada individu.

Promosi amalan spiritualiti
Hari ini, kita melihat banyak laman sesawang mengesyorkan aktiviti-aktiviti terapi minda seperti meditasi dan yoga. Konsep ini turut diterapkan di dalam sesi-sesi perawatan dan sedang menjalani proses normalisasi ke dalam bentuk senaman. Yang sebenarnya berasal daripada amalan keagamaan oleh agama-agama lain.

Sebagai umat Islam, kita perlu kembali dengan yakin kepada sumber ketenangan jiwa dan minda yang dianjurkan Islam.

Di dalam artikel ini, penulis ingin membincangkan berkenaan konsep spiritualiti Islam yang mana ia mampu membina kecerdasan spiritual seseorang hingga membolehkannya menatang kehidupan yang penuh dengan ujian dengan berdaya tahan, mampu bangkit kembali tatkala jatuh, mempunyai pandangan yang jelas, mengambil hikmahnya seterusnya mampu membuat perubahan, bahkan memberi inspirasi kepada orang lain.

Jiwa sebegini sebagaimana dinukilkan oleh ulama besar Syed Qutb,

Ketenangan dan kebahagiaan hati adalah hembusan dari langit, diturunkan ke lubuk hati orang yang beriman. Mereka akan tetap berhati teguh di kala orang lain di dalam kegoncangan ~ Syed Qutb

Spiritualiti Islam

Islam sebuah agama yang lengkap, merangkumi semua aspek hidup manusia, sesuai sepanjang zaman. Islam menyediakan solusi untuk semua perkara.


يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱدْخُلُوا۟ فِى ٱلسِّلْمِ كَآفَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَٰنِ ۚ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 208)


Amalan spiritualiti Islam berteraskan akidah yang mantap kepada Allah s.w.t. Ia bertunjangkan kalimah la ilaha illallah yang membawa seseorang Muslim kepada keyakinan, seterusnya penyerahan total dan pengabdian kepada Allah.

Seterusnya keyakinan kepada para Nabi, kitab Al-Quran, malaikat, hari kiamat dan qadha dan qadar. Kepercayaan yang kuat membina keterhubungan dengan Allah yang menjadi asas kepada kecerdasan spiritualiti. Mengenali Allah, mengetahui diri sebagai hamba yang dicipta oleh Allah dan akan kembali kepadaNya, singgah sebentar di dunia, sebuah tempat menanam amalan. Kenal diri, tahu matlamat, kenal kawan dan lawan, semuanya membina kecerdasan spiritual yang mampu menerima sesuatu yang berlaku sebagai perkara yang dihantar oleh Allah.

Sebagaimana untaian kata-kata popular daripada kalangan ahli sufi, “Barangsiapa yang mampu memahami dirinya maka ia akan mampu memahami Tuhannya,” kecerdasan spiritual menghantar seseorang itu lebih dekat kepada Allah.

Individu yang memiliki kecerdasan spiritual selalunya mempunyai perspektif yang bijak terhadap dunia, maka ia akan menjadi manusia yang sabar.


Perspektif minda

Namun, spirititualiti Islam bukan semata-mata retorik yang dibangunkan oleh hati semata. Sesuai dengan Islam sebagai agama lahir dan batin. Justeru spiritualiti Islam menegaskan bahawa agama ini perlu ditegakkan secara komprehensif oleh minda, hati, lidah dan pergerakan tubuh badan.

Di sini kita melihat bahawa kewajipan setiap Muslim supaya menegakkan lima rukun Islam iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, berpuasa, membayar zakat dan menunaikan haji di samping rukun iman sebagai suatu saranan wajib yang memberi pulangan kecerdasan spiritual kepada pengamalnya, supaya ia berjaya di dunia dan di akhirat.

Keyakinan kepada Allah membuahkan ketenangan. Jiwanya tenang menghadapi ujian kematian. Dia bersikap redha akan ujian kerana itu adalah suratan yang telah lama Allah tentukan, tidak menyesali perkara lepas yang boleh memberi impak kepada lintasan-lintasan negatif yang menjadi punca kepada kemurungan. Tidak terlebih berfikir tentang masa hadapan yang boleh mendatangkan kegelisahan dan perasaan tidak tenteram.

Menggantung kepercayaan kepada Allah memberinya keberanian dan keyakinan, menguatkan semangat lantaran baginya ada Pelindung Yang Maha Besar, dan tempat bergantung yang tidak pernah dilalaikan walau sedetik oleh kantuk dan tidur. Dia yang sentiasa jaga dan mengawasi. Dia tempat meminta pertolongan yang Maha Mendengar. Hati bahkan tenang dan hilanglah ketakutan dan tekanan.


كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

“Diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci akan sesuatu padahal ia amat baik bagimu. Boleh jadi juga kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, ayat 216)



Percaya kepada Allah dan perkara ghaib membina kecerdasan spiritualiti sebegini di kalangan Muslim. Dia meyakini bahawa Allah sedang menguji dengan cara unik untuk mengangkat imannya. Sekiranya respon yang wujud adalah syukur, sabar, harap dan takut kepada Allah, redha dan lebih dekat denganNya, maka itu adalah sesuatu yang lebih baik untuknya.


Solat menghidupkan spiritualiti

Dalam konteks perlaksanaan ibadah, solat merupakan tunjang pembinaan kecerdasan spiritual. Solat merupakan platform seseorang hamba untuk berkomunikasi dengan Tuhannya dan meluahkan kesedihan yang terbuku di hati. Di sini berlakunya proses terapi dan motivasi yang menghilangkan kegelisahan dan membina kekuatan pemikiran dan jiwa pada individu untuk berhadapan dengan sebarang situasi.

Solat perlu dihadirkan dengan hati yang khusyuk serta ikhlas. Kajian menunjukkan solat memberi kesan langsung kepada ketenangan yang diukur berdasarkan aliran darah dan gelombang otak. Seperti yang diperhatikan di kawasan prefrontal otak iaitu bahagian hadapan yang mengawal aktiviti berfikir, solat mampu merendahkan cas elektrik yang memberi kesan relaksasi kepada jiwa dan mindanya. Banyak kajian lain yang membuktikan signifikan amalan ini di dalam membantu kesihatan fizikal, jiwa dan mental.


Kesimpulan
Sebagaimana yang disebutkan di atas, serangan pandemik mendatangkan kecemasan kepada akal fikiran, namun jika disingkapkan hikmah-hikmahnya, banyak mesej yang kita telah pelajari daripadanya. Islam agama yang diiktiraf di sisi Allah dan merupakan agama yang lengkap dan sesuai dengan fitrah manusia.

Hal ini dinyatakan oleh Allah di dalam surah al-Maidah ayat 3, “Pada hari ini Aku sempurnakan agamamu buat kamu, dan Aku sempurnakan nikmatKu ke atasmu, serta Aku redha Islam menjadi agamamu.”

Justeru, mengambil saranan Islam tanpa adanya campur-aduk amalan selainnya mampu membina kembali kecerdasan spiritual umat ini.

Wallahu a’lam.

***Penulis merupakan pensyarah di Fakulti Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu, Terengganu.
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post