Guru SMK Pengkalan Berangan Cipta Pemicit Cecair Nyah Kuman Tanpa Sentuh



Oleh : Aziz Hambali

MARANG, 14 Jun- Menyedari kepentingan mencegah ancaman Covid-19 memberi ilham kepada guru dan kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Berangan (SMKPB) mencipta pemicit cecair nyah kuman tanpa sentuhan.

Pengetua SMKPB, Kamarulzaman Ismail, 48, berkata pihak sekolah membuat persiapan yang terbaik bagi menyambut kedatangan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 24 Jun.

"Cetusan idea alat ini dicipta adalah bertujuan menjaga kesihatan pelajar dengan kaedah picit penutup menggunakan kaki.



"Usaha ini adalah jaminan pihak kami khusus buat ibu bapa yang masih lagi risau akan keselamatan kesihatan anak-anak mereka apabila sekolah dibuka dalam masa beberapa hari sahaja lagi,"katanya.

Katanya lagi, apa yang dicipta itu bukan sahaja dinikmati warga SMKPB malah juga ada diserahkan kepada sekolah-sekolah terpilih sebagai persediaan sebelum sekolah kembali dibuka.

"Sehingga kini, hasil projek yang kami jalankan ini telahpun mencapai sebanyak 60 unit dan telah diedarkan ke seluruh kawasan Marang seperti balai polis, klinik kesihatan, masjid termasuk ke pejabat daerah," katanya ketika dihubungi wartawan UPDI selepas selesai mesyuarat dengan guru dan staf SMKPB sebentar tadi.

Tambah beliau, pihaknya bukan sahaja mendapat sokongan dari Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti sekolah berkenaan, tetapi juga sumbangan dana daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong bagi jayakan projek DIY itu.

Dalam pada itu, pengetua yang berasal daripada Kampung Losong itu tidak melepaskan peluang untuk memberi kata-kata motivasi kepada para pelajarnya yang sedang bercuti di rumah.

"Pada zaman sekarang, kita harus melalui apa jua perubahan yang berlaku. Kerana kita tidak boleh duduk di takuk yang lama", ungkapan itu dilontarkan dengan penuh syahdu.

Untuk rekod, tanggal 24 Jun depan, Malaysia bakal mencipta sejarah yang tersendiri dengan pertama kalinya sekolah dibuka dengan permulaan pelajar tingkatan 5 dan 6 setelah hampir empat bulan negara kita melawan pandemik Covid-19.

Sumber: https://www.teganukita.net/2020/06/guru-smk-pengkalan-berangan-cipta.html
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post