NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Koronavirus: Singapura buat peraturan untuk pelawat dari China


SINGAPURA: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) pada Jumaat mengumumkan semua pelawat baharu yang pernah ke China dalam tempoh 14 hari lepas tidak akan dibenarkan masuk atau transit di Singapura, berkuat kuasa Sabtu.

MOH dalam satu kenyataan berkata langkah ini diputuskan oleh Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian Singapura mengenai 2019 novel koronavirus untuk mengehadkan potensi risiko daripada pelawat baharu tiba dari China kepada Singapura.

Kementerian itu berkata dalam penilaiannya adalah wajar mengambil langkah pencegahan tambahan pada peringkat ini memandangkan terdapat kemungkinan peningkatan jangkitan daripada pelawat baharu yang tiba dari kawasan lain di China.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan (ICA) Singapura juga menggantung pengeluaran semua bentuk visa baharu kepada pemegang pasport China, berkuat kuasa serta merta.

Status Singapura sebagai kemudahan transit tanpa visa untuk pemegang pasport China juga digantung.

MOH berkata visa jangka pendek dan pelbagai lawatan untuk pemegang pasport China yang dikeluarkan sebelum ini turut digantung.

"Sepanjang masa tempoh penggantungan ini, mereka tidak akan dibenarkan masuk ke Singapura," katanya.

Sementara itu, penduduk (rakyat Singapura/pemastautin tetap) yang pernah ke China dalam tempoh 14 hari lepas akan diberikan surat makluman untuk mereka diberikan cuti selama 14 hari dari hari mereka pulang dari China, berkuat kuasa serta merta.

Ini juga terpakai kepada pemegang pas jangka panjang (termasuk pas kerja dan permit, pas pelajar, pas tanggungan dan pas lawatan jangka panjang) yang pernah ke China dalam tempoh 14 hari lepas, kata MOH.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak novel koronavirus sebagai sebagai darurat kesihatan dunia.

"Pengisytiharan ini menetapkan platform untuk satu usaha sejagat terselaras bagi meningkatkan persediaan rantau lain di dunia," kata MOH.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo