NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Generasi PPSMI ibarat tikus putih jadi bahan uji kaji


oleh:Asmadi Abdul Samad 

MENARIKNYA, saat pendidikan di Malaysia kembali berbahas mengenai Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, Indonesia telah dengan berani dan bangganya mengeluarkan subjek Bahasa Inggeris dari Kurikulum Sekolah Dasar dan menjadikannya hanya sebagai subjek pilihan.

Ini berlaku pada tahun 2013 di mana Indonesia telah mengambil langkah agresif dalam mengukuhkan pembinaan bangsa Indonesia dengan memperkenalkan Kurikulum Tingkat Satuan Pendidikan (KTSP) di peringkat Sekolah Dasar (Sekolah Rendah).

Dalam Kurikulum tersebut, Pendidikan Kewarganegaraan menjadi antara subjek penting di samping Subjek Bahasa Indonesia dan lima lagi subjek lain yang turut dimuatkan dalam kurikulum tersebut. Ini antara usaha mereka untuk menyatukan lebih 270 juta rakyatnya yang terdiri daripada 500 bahasa etnik utama di lebih 2,000 pulau dan daerah yang berselerak.

Dalam subjek Pendidikan Kewarganegaraan ini anak-anak di Indonesia dididik dengan semangat kebangsaan, mengenal suku bangsa dan agama dan seterusnya menjadi wahana dalam melestarikan nilai luhur dan moral yang berakar pada budaya bangsa Indonesia.

Di Malaysia pendidikan seolah-olah turut dijajah kolonial apabila idea untuk Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris kembali diangkat. Perdana Menteri telah pun bersuara untuk kembali melaksanakan PPSMI.

Meskipun telah berjalan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, memperkukuh Bahasa Inggeris yang memperuntukkan lebih banyak masa untuk subjek Bahasa Inggeris, dua subjek penting yang menjadi asas serta titik tolak penglibatan murid dalam bidang sains dan teknologi ini juga turut ingin 'Inggeriskan'.

Dual Language Programme sudah pun bergerak di lebih dari 1,000 buah sekolah di seluruh negara dan hampir 6,000 buah sekolah telah melaksanakan program pembudayaan bahasa Inggeris yang dikenali sebagai Highly Immersive Programme (HIP).

Kita juga sudah ada 'Road Map' yang begitu holistik dalam meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris untuk lebih dari lima juta murid, tenaga-tenaga pengajar dan juga institusi-institusi yang terlibat dalam memastikan aras penguasaan Bahasa Inggeris terus meningkat dari semasa ke semasa.

41,676 orang guru opsyen Bahasa Inggeris terlatih dengan kelulusan sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma siap untuk mencapai misi ini. Hampir 30 ribu dari guru-guru ini telahpun mencapai standard kualiti antarabangsa yang ditetapkan dalam Common Europian Framework of Reference (CEFr).

Semua ini jika diteliti laporan pencapaian semasa yang dibentangkan sudah cukup tuntas untuk menafikan penjajahan Bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik ini.

Jangan dibakul sampahkan kajian-kajian yang menunjukkan kegagalan PPSMI sebelum ini dalam meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris. Lihat juga bagaimana PPSMI sebelum ini memberikan kesan negatif yang amat buruk kepada pencapaian Subjek Sains dan Matematik sebelum ini. Lihat juga nasib dan apa yang berlaku kepada generasi PPSMI yang betul-betul ibarat tikus putih yang digunakan sebagai bahan uji kaji.

Malang sungguh pendidikan di Malaysia. Masih belum mampu untuk merdeka.

Asmadi Abdul Samad ialah Guru Bahasa Inggeris

Sumber: https://www.ismaweb.net/2020/02/01/generasi-ppsmi-ibarat-tikus-putih-jadi-bahan-uji-kaji/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo