Undi 18: 2 juta maklumat pengundi baharu berjaya disusun secara manual


Undi 18: 2 juta maklumat pengundi baharu berjaya disusun secara manual
Madiha Abdullah, Astro Awani | Diterbitkan pada Januari 22, 2020 15:48 MYT

PUTRAJAYA: Lebih dua juta maklumat pengundi baharu berjaya disusun secara manual oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) setakat ini.

Ia dijangka dapat membantu melancarkan proses pendaftaran pengundi baharu selepas pelaksanaan Undi 18 yang dijangka sekitar pertengahan tahun hadapan.

"Apabila seorang pengundi mendaftar sebagai pemilih, kita perlu lihat lokalitinya yang akan menentukan di mana dia akan mengundi.

"Buat masa ini, sistem belum ada dan undang-undang pun belum dilaksanakan tetapi pihak sekretariat sudah buat (penyusunan) secara manual dan telah berjaya selesaikan lebih dua juta orang pengundi yang kita jangka bakal jadi pengundi baharu," kata Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun.

Azhar memaklumkan, tender bagi sistem pendaftaran automatik bagi pengundi baharu tersebut sudah diberikan kepada pembida yang layak, namun menyatakan beliau tidak mengetahui siapakah pihak terbabit.

Bagi tahun 2020, SPR merancang melaksanakan pendidikan pengundi atau voters education kepada pelajar tingkatan empat membabitkan 240 buah sekolah di seluruh negara.

"Kami sudah adakan percubaan di sekolah tahun lalu dan ia diterima baik. Selepas itu banyak sekolah hubungi kami untuk datang kepada mereka.

"Modulnya sudah siap dan kami akan umumkan kepada orang ramai, supaya tidak ada yang menuduh kami cuba mempengaruhi pelajar. Kami tidak akan pengaruh sesiapa, kami cuma mahu mendidik," jelas Azhar.

Menyentuh tentang e-voting, Azhar berkata SPR masih meneliti perkara tersebut dan perlu mengambil kira pendapat daripada pihak yang lebih bertauliah.

"Saya sangat bimbang tentang keselamatan dan bagaimana nak memuaskan hati pengundi. Katalah dia undi A, dia boleh yakin A yang akan masuk dalam sistem.

"Kami juga bimbang dengan penggodam. Walaupun ada cadangan untuk block chain tetapi ada juga pihak yang menentang block chain ini. Jadi kita perlu teliti betul-betul," tambahnya.

Beliau ditemui selepas menerima kunjungan hormat delegasi Jawatankuasa Pilihan Khas Pilihan Raya (JKPK Pilihan Raya) dan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam (JKPK JUPA) di sini, pada Rabu.

Antara yang menyertai pertemuan itu ialah Pengerusi JKPK Pilihanraya, Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi JKPK JUPA, William Leong serta sembilan Ahli Dewan Rakyat, diketuai Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Rosmee Hamzah.

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/undi-18-2-juta-maklumat-pengundi-baharu-berjaya-disusun-secara-manual-228705
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post