Gamis Tuntut 4 Perkara


KUALA LUMPUR – Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) tuntut empat perkara pada Himpunan Bangkit Pertahan Jawi, Haramkan Dong Zong di Dataran Sogo di sini hari ini.
Presidennya, Saifullah Baiduri berkata, Gamis mendesak Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) diharamkan kerana mengganggu perpaduan dan Perlembagaan.

“Kedua, pengajaran jawi diajar ke semua sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil bertepatan dengan Perlembagaan menyatakan jawi adalah sebahagian dalam bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sekali gus memupuk semangat perpaduan kaum.

“Gamis menuntut supaya semua pihak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan mengajak semua rakyat memelihara bahasa kebangsaan seperti yang terkandung dalam Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Himpunan Bangkit Pertahan Jawi dan haramkan Dong Zong di dataran Kompleks Sogo dengan kehadiran 500 penyokong.

Turut hadir Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nazir Helmi dan Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa.

Terdahulu, peserta mula berhimpun jam 2 petang sebelum dipecahkan kepada dua kumpulan berarak 15 minit kemudian dari Masjid Jamek menuju dataran Sogo sebelum bersurai secara aman jam 3 petang.

Saifullah memberikan amaran kepada Dong Zong dan mana-mana pertubuhan supaya tidak menyentuh Perlembagaan mahupun meneruskan himpunan berbaur rasis.

“DAP yang menjadi tulang belakang Dong Zong diingatkan tidak mengkhianati Perlembagaan dan Majlis Raja-Raja atau himpunan mega rakyat akan kita lakukan mendesak Dong Zong diharamkan.

“Satu memorandum akan dihantar kepada Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah jika Dong Zong terus membantah pengajaran jawi untuk memastikan keamanan dan keharmonian negara terus terpelihara,” katanya. – Sinar Harian
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post