NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bob Lokman: Dakwah,Seni Dan Rumah Sakit.


Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

" demo kaba ke dok kawe sakit nih" dia mengumam dengan senyuman khasnya.
" sakit gaponya ,makan selera sokmo" aku membalas . Dia diam tak berkutik.

Tahun lepas,2019 , Bob kerap berulang ke Terengganu kadang berbulan di Terengganu yang membuka seluas mungkin untuk beliau berdakwah dan menyantuni anak muda. Aku mengheretnya ke merata tempat di Besut, FELCRA, FELDA, Pulau dan kampong pedalaman dalam program kempen anti dadah .

Bob menginap di pondok Tahfiz an nur Besut, kadang bersama Zuar XPDC . Pondok tenang dengan bacaan al Quran anak-anak Tahfiz dan beliau juga sering membaca al Quran di pondok. Tahfiz an nur sudah seperti rumah keduanya, jika lapar terus ke Restoran Rambai Alor Keladi yang tersohor dengan masakan ikan baung,ikan baung dan segala macam ulaman.

" kita duk berceramah anti dadah ni,,mat dadah tak mari,cuba kita buat jualan murah dadah sekali kat masjid ni " kata Bob berlucu, deraian ketawa hadirin menyambut candaan Bob,anak seni yang telah menulis 350 lirik lagu.

" nanti ana nak balik ke kampong ana di Kubang Kerian,nak hidupkan balik pondok kenali, biar hidup semula majlis-majlis ilmu, ana dan keluarga pun boleh tumpang belajar" dia memuntahkan cita-citanya yang telah terpendam. Beliau meniaga masakan , namun setelah kematian anak sulongnya Mohd Adam , perniagaannya mempunyai sedikit halangan. Tiada yang boleh bergerak kesana sini menghantar tempahan makanan. Bob dan Adam sangat rapat, malam kematian Mohd Adam ,kali pertama aku melihat airmatanya tumpah. Sayap kanan perjuangan hidupnya pulang lebih awal ke negeri abadi.

" tak payah laaaa abe Bob meniaga , penat meniaga ni , tumpu sahaja pada kerja dakwah dan memberi ilmu pada masyarakat....boleh juga menambah ilmu dan amal" aku menyarankan kepada beliau. Aku tahu minatnya mendalam dalam bidang perniagaan , beliau pandai memasak makanan tradisional termasuk nasi maqlubah masakan Bob kategori lima bintang. Beliau pernah menjamu nasi Arab maqlubah pada pelajar-pelajar an nur Besut dan an nur Setiu. Licin tak tersisa!

Minggu ini sedang dia dalam jadual padat Roadshow kuliah di Terengganu , jasadnya sangat lemah dan dibawa ke Hospital UITM, Sungai Buluh oleh kawan-kawan pejabat MB Terengganu. Menteri Besar Terengganu pernah menaja penginapan bilik hotel kepada Bob selama sebulan di Terengganu untuk membantu Bob berdakwah. Kali ini sakitnya agak serius, kakinya membengkak kehitaman, kesan daripada masalah buah pinggang. Setiap kali aku melawat, dia mengerang dengan guratan wajah berkerut kesakitan. Paru-paru dan jantung yang bermasalah, kini ditambah dengan masalah buah pinggang.

Sakit atau sihat Bob tetap menjadi perhatian masyarakat, teman-teman aktivis terus menziarahi Bob dan berita keuzuran anak seni ini dengan pantas berjangkit di alam siber. Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim bin Lokman bin Ahmad bin Yusuf al Kenali dengaan nekad telah meninggalkan kerlipan industri hiburan dan menyertai PAS dalam himpunan 30k Pemuda PAS di Alor Setar. Namanya tetap menggunguli pentas ceramah PAS serta pengisi program masjid surau,malah acara besar PAS ,namanya tetap dalam senarai papan carta utama.

Mengendong tendensi dan bakat dibidang pengacaraan yang beliau puluhan tahun ceburi selamaa ini. Bob adalah alumni Maahad Hamidiah Kajang, pernah membesar di Pondok Tok kenali kubang kerian, juga merupakan cicit Tok Kenali dan cucu Tuan Guru Haji Ahmad Bangkok. Bakat berdakwah ada dalam darahnya dan beliau juga merupakan anak saudara almarhum ustaz Mawardi Ahmad, bekas ADUN Lundang.

Beliau semenjak berhijrah daripada alam selebriti terus menjadi pentaksub ilmu, menghadiri majlis ilmu, berusrah serta turun menjelajahi negara untuk berkongsi pengalaman serta menitip nasihat buat anak muda. Bob juga berusaha untuk menarik kawan-kawan artis untuk kembali menghayati ajaran Islam seterusnya berhijrah ke alam fitrah. Rumah beliau di Sungai Buluh sering menjadi tempat berusrah serta majlis silaturrahim.

Semenjak Bob jatuh sakit, aktivitinya terhenti dan ini sedikit sebanyak kondisi ekonomi juga terjejas. kita sebenarnya tak cukup hanya melontar simpati dan memangku lengan. Isteri Bob tidak bekerja, tanggungannya masih ramai dan saya terkenangkan Bob yang turut dikerah kemana sahaja untuk berceramah jika jasadnya sihat. Saya merayu teman-teman aktivis untuk menjenguk Bob Lokman dan membantu meringankan beban beliau kerana sewaktu jasadnya sihat kita memanfaatkan bakat dan popularitinya untuk perjuangan Islam.

Untuk teman-teman yang ingin menghulurkan bantuan kepada Bob Lokman, boleh menyalurkan kepada akaun isteri beliau, Puan Relawati Daud;

PUBLIC BANK
4416 2064 06

atau

MAYBANK
1623 4835 9386

(PENULIS IALAH AJK PAS PUSAT, PENGERUSI LESTARI)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo