NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Manfaat gajet ulang kaji PT3



KAJANG: Penggunaan gajet secara optimum oleh Nur Emylia Natasya Habrozi, 15, untuk mengakses pelbagai maklumat berkaitan pelajaran membantunya memperoleh keputusan cemerlang semua A bagi 10 mata pelajaran dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) 2019.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah, Kajang, itu mengakui menjelang peperiksaan, dia masih aktif menggunakan gajet, namun tumpuannya lebih kepada pencarian maklumat berkaitan pelajaran, manakala aktiviti membabitkan media sosial dihentikan buat sementara waktu.



“Saya memanfaatkan gajet bagi mengumpul dan mendapatkan maklumat berkaitan pelajaran, terutamanya yang tidak difahami atau untuk menambah ilmu sedia ada,” katanya ketika ditemui BH selepas majlis pengumuman keputusan PT3 di SMKA Maahad Hamidiah, di sini, hari ini.

Nur Emylia antara empat calon SMKA Maahad Hamidiah yang berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dalam keempat-empat komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), masing-masing Pentaksiran Pusat iaitu PT3, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Selain itu, mereka juga berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam kertas Bahasa Inggeris PT3 yang dijajarkan dengan Common European Framework of Reference For Language (CEFR) yang mula diperkenal tahun ini.



Bagi Muhammad Aizul Izmi Mohd Shuhaimi, 15, dia tidak menyangka berjaya memperoleh keputusan semua A bagi 10 mata pelajaran yang didudukinya, namun menganggap itu sebagai rezeki.

Katanya, ketika sesi persekolahan, dia antara pelajar yang sering ditegur oleh pengetuanya, Md Yusof Rahim kerana dianggap seperti seorang pelajar yang terlalu bersahaja dan tidak aktif.

“Pengetua cakap saya bijak, tetapi terlalu ‘lembik’ dan beliau mahu saya kelihatan seperti seorang pelajar yang cemerlang dalam akademik.

“Saya tidak pernah marah apatah lagi berasa hati, sebaliknya memegang kata-kata pengetua itu sebagai cabaran untuk membuktikan kemampuan sebagai pelajar yang mempunyai personaliti dan ketrampilan yang boleh dijadikan contoh kepada rakan lain,” katanya.

Sementara itu, Md Yusof berkata, beliau gembira dengan pencapaian sekolahnya, namun pada masa sama mahu mengingatkan kepada semua terutamanya ibu bapa bahawa pengukuran PT3 bukan hanya tertumpu pada jumlah A yang diperoleh, sebaliknya perlu dilihat secara menyeluruh bagi semua komponen PBS.

Katanya, pelaksanaan PBS sendiri adalah untuk mendapat gambaran secara menyeluruh mengenai potensi pelajar dalam bidang ilmu pengetahuan, kemahiran dan kecekapan.

“Kita mahu pelajar terdedah kepada pendekatan lebih holistik dengan fokus kepada pembangunan intelek, emosi, rohani dan jasmani secara keseluruhannya,” katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo