oleh:Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Bukit Tunggal Kuala Terengganu
Terbaca laporan Malaysiakini berkenaan kenyataan Presiden PAS bahawa haram menyerah kuasa (kepala negara) kepada bukan Islam [1]. Dan berita ini kemudiannya dijadikan modal menuduh TGHH sebagai rasis
Saya tidak mahu membicarakan soal hukum. Kita ada ramai mufti untuk perkara itu. Tetapi saya nak bercerita satu kisah tentang Perang Granada. Kisah ini saya ambil daripada sejarawan Amerika, Dr Pamela D. Toler.
Pada tahun 1482, berlaku satu perang antara Kerajaan Islam Sepanyol dan Ratu Isabella yang mengetuai pasukan tentera Perancis, England dan Ireland. Perang 10 tahun ini berakhir selepas Granada yang menjadi tanah terakhir umat Islam di Eropah dikepung selama 9 bulan.
Bagi menyelamatkan umat Islam di Granada, Sultan Abu Abdullah Muhammad XII membuat satu perjanjian bersama Ratu Isabella dan Raja Ferdinand. Granada akan diserahkan kepada kerajaan Katolik Sepanyol, tetapi umat Islam yang masih tinggal di sana akan dibenarkan untuk terus bebas mengamalkan agama mereka
Perjanjian ini ditandatangani dan dinamakan "Capitulation of Granada".
Tetapi menurut Dr Pamela, tidak seperti pemerintah Muslim yang meraikan hak beribadat non muslim sebelum ini, kedua dua Isabella dan Ferdinand tidak menghormati perjanjian yang mereka berdua sendiri tandatangani. Malahan mereka berusaha memurtadkan umat Islam dalam tempoh 10 tahun pertama selepas penaklukan Granada. Tindakan ini menyebabkan umat Islam memberontak.
Apabila gerakan pemberontak ditumpaskan, Isabella memberi dua pilihan kepada umat Islam. Murtad atau keluar sehelai sepinggang. Majoriti memilih untuk menyelamatkan akidah walaupun kehilangan harta benda. Sebahagian lagi memilih untuk dibaptiskan dan kekal di Sepanyol.
Muslim yang murtad ini kemudiannya dikenali sebagai Moriscos atau Little Moors. Tetapi walaupun sudah murtad, kelompok ini masih dilayan seperti kelas ke dua. Bermula tahun 1530, kerajaan Sepanyol telah menangkap ribuan Moriscos dan menyita harta benda mereka. Mereka terdedah kepada penderaan awam, seksaan, sebatan dan hukuman bunuh
Pada 1609, Philip II yang memerintah Sepanyol ketika itu mengarahkan agar semua Moriscos ini dihalau keluar daripada seluruh tanah Andalusia. Sekurang-kurangnya 300 ribu Moriscos menjadi pelarian dalam tempoh 5 tahun.
Bagi pelarian yang memilih untuk meminta perlindungan di Empayar Islam, mereka dipaksa meninggalkan zuriat mereka yang berusia kurang 7 tahun supaya kanak-kanak ini dapat dibesarkan di Sepanyol sebagai Kristian dan seterusnya 'diselamatkan' [2]
Ini adalah tulisan sejarawan Barat tentang isu kemanusiaan Granada selepas nasib umat Islam diserahkan secara mutlak kepada pemerintah bukan Islam. Saya tidak menambah apa-apa.
Kerana jika saya mengambil kisah ini daripada sumber sejarawan Islam, maka setiap dari kita akan mempersoalkan tahap iman dirinya sendiri.
Rujukan:
[1] https://www.malaysiakini.com/news/494780
[2] The History Of All Of Us Mankind, Dr Pamela D. Toler, Running Press Book Publishers, 2012, ms 201 - 204
https://www.facebook.com/100001200986490/posts/2728485703868102/
Graduan UPSI sambut konvo di kampung walau banjir
33 minutes ago
No comments
Post a Comment