Agensi Tunggal Kawal Sempadan Diwujudkan



PUTRAJAYA – Sebuah agensi sempadan diwujudkan bagi mengawal, memperkukuh dan mempertingkatkan piawaian pengoperasian dan keselamatan di sepanjang sempadan negara.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan mengenai penubuhan badan tunggal mengawal pintu masuk negara diterima kerajaan yang menyarankan penubuhannya dilakukan secepat mungkin.

“Kalau boleh dalam tempoh dua tahun akan datang perkara berkaitan penubuhan agensi sempadan diselesaikan dan penubuhannya dimuktamadkan.

“Perkara ini dibincangkan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan saya berusaha menyegerakan penubuhannya,” katanya.

Muhyiddin berkata, ketika ini pengurusan sempadan negara dikendalikan 28 badan, pertubuhan, persatuan dan syarikat yang dilihat menjadi antara faktor kesesakan dan kelewatan dalam pengurusan hal ehwal sempadan negara.

Katanya, cadangan penubuhan badan tunggal itu melalui proses kajian dalam tempoh enam hingga 12 bulan oleh perunding yang dilantik Mac depan dengan mengambil kira semua keperluan meliputi kewangan, sumber manusia, logistik dan akta berkaitan.

Berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Kajian Cadangan Penubuhan Badan Tunggal Menjaga Sempadan Negara dan Pintu-Pintu Masuk Termasuk Pelabuhan 3 Julai lalu, KDN dipertanggungjawabkan sebagai urus setia perlu melaksanakan kajian meliputi tiga domain utama iaitu darat, udara dan laut dengan fokus awal kepada domain darat.

Sehubungan itu, KDN sedia mempelajari pengalaman Amerika Syarikat dalam soal penubuhan agensi tunggal mengawal pintu masuk negara seperti yang dilaksanakan di Singapura dan Australia.

Muhyiddin berkata, jika ditubuhkan badan tunggal itu meningkatkan penyelarasan proses pemeriksaan secara efisien melalui satu kaedah penyuraian dalam mempertingkatkan aspek keselamatan selain memudah cara perdagangan.

Kesungguhan kerajaan memperkukuhkan keselamatan kawalan sempadan negara dibuktikan apabila hal itu diangkat menjadi satu daripada teras khusus dalam Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad Oktober lalu.

Tumpuan KDN pada 2019 terarah kepada mengurus serta menangani isu kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru, Johor, yang masih berlarutan.

Bagi tujuan itu, Muhyiddin berkata, satu Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Bagi Menangani Kesesakan Tambak Johor ditubuhkan kerajaan dengan beliau sendiri selaku pengerusi.

Jawatankuasa itu mengemukakan 23 inisiatif bagi mengatasi masalah kesesakan yang dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Antaranya mengubah suai dan menaik taraf bangunan CIQ, menambah peralatan sistem kawalan pintu masuk seperti Malaysian Automated Clearance System (MACS) dan M-Bike dan memobilasi pegawai bertugas di kaunter tidak sesak ke kaunter sesak dan pembukaan laluan kontra di laluan kereta ketibaan.

Komitmen dalam menangani isu permasalahan rakyat itu diserlahkan apabila kerajaan meluluskan peruntukan RM85 juta bagi tujuan itu seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, 11 Oktober lalu.
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post