NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Zionis rampas 90 peratus Lembah Jordan


RAMALLAH, 8 Rabiulawal 1441H, Selasa – Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin, Saeb Erekat mengesahkan rejim pengganas Israel telah merampas 90 peratus Lembah Jordan di Tebing Barat, lapor Felesteen.ps.

Erekat dilaporkan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan yang dianjurkan bersama Kementerian Penerangan Palestin dan jabatan pelarian PLO di kawasan itu.

"Bahaya terbesar mengenai Lembah Jordan dan penempatan adalah percubaan Israel untuk memperluaskan kedaulatannya ke atas lembah itu.

"Mereka kononnya beri alasan kerana faktor keselamatan, walhal mereka mahu mengetatkan sekatan terhadap rakyat Palestin," kata pegawai PLO veteran berkenaan.

Beliau menegaskan bahawa negara haram Israel telah merampas harta bernilai kira-kira AS$450 juta daripada penduduk Palestin tempatan.

Erekat turut mendakwa Israel memperkukuhkan penempatannya di Lembah Jordan dan mencuri sumber air rakyat Palestin dengan kerjasama syarikat-syarikat antarabangsa.

Serentak itu, beliau meminta Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk menghasilkan pangkalan data berkaitan dengan kawalan Israel di Lembah Jordan, tanpa mengira desakan dan tekanan Amerika Syarikat.

Keluasan Lembah Jordan meliputi kawasan sekitar 1.6 juta dunam (1,600 km2) dan juga 30 peratus daripada jumlah Tebing Barat yang diduduki.

Berdasarkan laporan kerajaan terdahulu, Lembah ini merangkumi kira-kira 280,000 dunam tanah pertanian.

50,000 daripadanya masih digunakan oleh rakyat Palestin dan 27,000 oleh penduduk haram Yahudi yang menyalahi undang-undang. – Agensi

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo