NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sri Langka: Kisah Tragis LTTE terhadap Umat Islam Dalam Masjid


PADA 3 Ogos 1990, seramai 141 orang jemaah Muslim sedang solat penuh khusyuk di dua buah masjid dalam daerah Katankundi di Sri Lanka.

Tidak mereka sedari itu adalah kali terakhir mereka sujud kepada Allah SWT di muka bumi ini.

Selepas seketika, pengganas yang mengelar diri mereka pengikut Liga Harimau Tamil Elam (LTTE) menyerbu masuk dan menghamburkan ratusan peluru menggunakan senjata separa otomatik.

Kesemua mereka syahid di dalam masjid Meera Jummah dan Hussainiyya. Maka terukirlah salah satu sejarah paling hitam untuk masyarakat Islam Sri Lanka.

Antara yang terkorban itu adalah bapa dan saudara lelaki Dr. Seyed Alavi Sheriffdeen yang kemudianya menulis mengenai tragedi hitam itu dalam akhbar Colombo Telegraph puluhan tahun selepas ia berlaku.

“Bapa saya dan adik saya, berusia 10 tahun, dibunuh secara kejam oleh LTTE, bersama-sama dengan saudara-mara yang lain. Mereka semua sedar dalam doa ketika tragedi ini berlaku. Setiap orang yang terbunuh di Masjid Hussainiyya saya kenali sama ada sebagai saudara atau jiran.

“Ini adalah salah satu hari yang tidak boleh diulang dalam sejarah Sri Lanka atau di mana sahaja di dunia. Walaupun beberapa dekad sudah berlalu, kenangan dan parut yang menyedihkan membakar minda mangsa. Sehingga kini, kenangan traumatik ini masih segar seolah-olah ia hanya berlaku seminit yang lalu,” katanya dalam penulisan yang disiarkan pada tahun 2017.

Dr. Seyed berkata, tahun 1990 adalah kemuncak keganasan LTTE.

“Tidak ada undang-undang dan keamanan ketika itu, sesiapa sahaja boleh mencapai senjata dan mewujudkan hubungan dengan kumpulan pengganas, menjadikan diri mereka gagah untuk menundukkan sesiapa sahaja yang mereka mahu.

“Ribuan nyawa melayang oleh tindakan individu zalim yang mengelar diri mereka pejuang kebebasan,” keluhnya.

Kata beliau, pengganas LTTE memulakan ‘perjuangan’ mereka dengan membunuh bangsa Tamil sendiri pada asalnya sebelum mula mengacukan muncung senjata kepada kaum Sinhalese (masyarakat majoriti beragama Buddha) dan kemudiannya kepada masyarakat Islam.

Bangsa Tamil yang dibunuh kata beliau adalah kelompok yang menentang sebarang bentuk konfrantasi bersenjata oleh LTTE.

“Pemuda Muslim pula diculik dan dibunuh dengan mulus, sesuatu yang sangat umum pada masa itu. Saban hari khabar mengenai penculikan dan pembunuhan umat Islam akan sampai kepada saya di Colombo. Ia adalah masa penuh keperitan kerana nampaknya tidak ada penyelesaian untuk LTTE muncul sebagai kuasa gerila paling kuat di bumi walaupun mereka tidak begitu secara realitinya,” jelasnya.

Masyarakat Islam di Sri Lanka walaupun bertutur bahasa Tamil, mereka tidak pernah menerima diri mereka sebahagian kaum itu.

Mereka lebih senang membawa indentiti sendiri berteraskan Islam dan kerap memperkenalkan diri mereka sama ada sebagai kaum Moor, Bohra atau Melayu.

Dalam memperkukuhkan pengaruh, LTEE kata beliau memperkenalkan istilah Islamia Tamilar (Tamils Islam) dengan alasan untuk mewakili mereka, sebagai usaha untuk memulihkan tuntutan lama Ramanathan bahawa umat Islam adalah etnik Tamil.

“Mengikut sejarah, tuntutan tersebut ditolak dan terus ditolak oleh orang Islam. Apabila komuniti muslim tidak mengadaptasi atau menerima identiti baru ini, LTTE mengambil langkah untuk menakutkan mereka dengan menculik umat Islam untuk tebusan, merosakkan kedai-kedai mereka, membunuh dan perbuatan jenayah yang lain,” jelas Dr. Seyed.

Ada umat Islam yang disembelih hidup-hidup.

Katanya, tragedi di Katankundi dah kekalahan LTTE akhirnya membuktikan keganasan tidak akan membawa sebarang kemenangan kepada mana-mana pihak.

**Rencana ini ditulis Mynewshub sebagai respon kepada beberapa pemimpin DAP tempatan yang cuba menzahirkan LTTE sebagai sebuah kumpulan yang kononnya baik dan berjuang untuk keamanan bangsa Tamil di Sri Lanka. – Wak Lu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo