NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perang Dagangan Amerika Syarikat Dan China Bakal Berakhir?


oleh: MAZLI NOOR
30 Zulhijjah 1440H
31 Ogos 2019

Ketegangan pertikaian dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China nampaknya membimbangkan komuniti ekonomi dunia. Pelbagai andaian dan ramalan oleh pelbagai pihak berkenaan kesan perang dagangan ini terhadap ekonomi dunia, telah diutarakan.

Meneliti semua analisa-analisa tersebut dan juga iklim semasa ekonomi dunia dan serantau terutamanya, Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat berpandangan bahawa ketegangan ini tidak lah destruktif dan kronik sebagaimana yang dibimbangi. Pandangan kami adalah bersandarkan kepada faktor-faktor berikut:

1. Ekonomi AS amat bergantung kepada sokongan kecairan daripada China. Ini berdasarkan fakta bahawa China adalah pemegang terbesar bon persekutuan AS yang dikeluarkan. Mengikut data pada akhir Disember 2018 sejumlah USD1.123 trillion nilai bon persekutuan dilanggan oleh China. Ini mewakili 5% daripada keseluruhan hutang AS.

Oleh itu ekonomi AS amat bergantung kepada “the Chinese Money” untuk mengerakkan ekonomi mereka terutama sektor peruncitan. Dengan senario ini, matawang Yuan akan sentiasa disandarkan kepada dollar Amerika yang akhirnya akan memperkukuhkan ekspot China ke AS. Hasilnya pasaran AS akan dapat menikmati barangan China pada nilai yang rendah seterusnya mengekalkan kuasa beli mereka.

Dengan situasi pergantungan ini, maka mustahil AS akan mampu untuk terus menekan China dalam peperangan dagangan ini. Sekiranya China bertindak balas menebus pagangan mereka kepada bon AS ini, maka kesan kepada ekonomi AS adalah amat destruktif terutama kepada sektor peruncitan. Perlu diingat bahawa sektor peruncitan menyumbang hampir 6% kepada KDNK AS yang juga disokong oleh kuasa beli kelas menengah AS yang berjumlah lebih 50% daripada penduduk AS atau sekitar 164 juta orang.

2. Faktor kedua adalah dipihak China. Dengan melanggan bon AS dalam saiz USD1.123 trillion itu, matawang Yuan akan sentiasa diikat kepada dolar Amerika yang menyebabkan nilai Yuan sentiasa lebih rendah daripada dolar. Ini akhirnya akan menyokong ekspot China supaya kekal kukuh.

Dengan saiz rakyat yang seramai lebih 1.3 billion, China perlu kepada pertumbuhan KDNK yang agresif secara berterusan, jika mampu pada kadar dua digit. Jesteru bagi mempastikan ekspot dan kadar pertumbuhan KDNK terus kukuh, adalah mustahil China akan menebus dan melepaskan pegangan bon persekutuan AS yang dilanggan sekarang.

Nilai Yuan yang lebih rendah daripada dolar Amerika ini juga akan memberi kesan kepada kuasa beli 420 juta kelas menengah China. Bagi melindungi kelas menengah China, pertumbuhan ekspot pada kadar yang tinggi adalah amat penting bagi ekonomi China yang akhirnya akan menstabilkan kuasa beli kelas menengah mereka.

Situasi hubungan simbiosis ini akan mempastikan bahawa AS dan China akan terus berhati-hati dalam menguruskan hubungan dagang antara mereka. Walaupun kedengaran bahawa seakan-akan pemimpin kedua-dua negara tegas untuk melindungI ekonomi negara masing-masing, hakikat yang sebenar berdasarkan fakta-fakta di atas adalah mereka saling memerlukan antara satu sama lain dan saling menyokong.

Contoh klasik yang telah berlaku baru-baru ini adalah penarikkan balik sebahagian daripada sekatan kepada firma telekomunikasi China, Huawei.

Oleh itu kami menjangkakan bahawa ketegangan perang dagang antara AS dan China ini akan tamat tidak lama lagi dan ianya bukanlah sesuatu yang membimbangkan.

MAZLI NOOR ialah Timbalan Pengerusi, Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat.

30 Zulhijjah 1440H
31 Ogos 2019

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo