NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil, Menteri Perlu Faham Makna Keadilan


KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan skim bantuan penanaman semula sawit pekebun kecil akan melumpuhkan aktiviti penanaman semula dalam kalangan pekebun kecil dan tentunya ia akan memberikan kelebihan kepada syarikat perladangan besar dengan kemampuan modal yang kukuh.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pembatalan bantuan tanam semula akan memberi kesan terhadap keluasan tanaman sawit oleh pekebun kecil dan seterusnya menjejaskan sumber pendapatan serta sosioekonomi mereka

“Rata-rata pekebun kecil ini adalah bumiputera Melayu, Orang Asli dan pribumi di Sabah dan Sarawak, sebilangan kecilnya kaum Cina dan India yang berpendapatan rendah.

“Oleh sebab itu, apa saja dasar yang baik untuk rakyat di bawah kerajaan sebelum ini perlu diteruskan yang mana Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK), menyediakan peruntukan khas bantuan kewangan kepada pekebun kecil sawit iaitu RM7,000 bagi setiap hektar untuk tujuan menanam semula pokok yang sudah tua dan tidak produktif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata perkara ini sukar diterima apabila menteri terbabit memberikan alasan kononnya mahu mewujudkan keadilan kepada pekebun lain terutamanya dari Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan ( FELCRA)

Katanya, majoriti pekebun kecil tidak akan mampu mengeluarkan modal sendiri bagi membiayai kos penanaman semula.

“Menteri tak faham apa itu makna keadilan kerana keadilan bermakna memberi kepada mereka yang berhak.

“Kedua-dua agensi besar itu sudah ada kaedahnya sendiri bagi menampung kos penanaman semula namun pekebun-pekebun kecil telah sejak sekian lama bergantung kepada bantuan kerajaan. Apatah lagi dalam situasi pendapatan dari hasil sawit sekarang tak mencukupi untuk menyara keluarga,”ujarnya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo