NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sekolah Tahfiz Berbahasa Mandarin Iktiraf Malaysia Negara Unik


KUALA TERENGGANU, 14 Ogos - Kerajaan Terengganu akan membuka Pusat Tahfiz Berbahasa Mandarin di Dungun tahun depan antara lain untuk merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara unik, berbilang kaum.

Menteri Besar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk menubuhkan pusat itu di bawah kendalian Yayasan Terengganu (YT).

Pusat itu katanya akan memulakan sesi pembelajaran di bangunan Sekolah Imtiaz Dungun dengan pengambilan pelajar pertama seramai 50 orang, masing-masing 25 pelajar lelaki dan perempuan.

Katanya, di samping mereka belajar menghafal 30 Juzuk Al-Quran, mereka juga belajar Bahasa Mandarin untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Ini komitmen kerajaan supaya mereka diajar bahasa itu bagi memahami kelompok kaum yang menggunakan bahasa berkenaan.

"Kita berharap ia boleh menambah ilmu pengetahuan kepada masyarakat negeri Terengganu, di samping menghafal Al-Quran, berupaya juga menggunakan bahasa Mandarin," jelas beliau.

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri berkata demikian ketika bercakap kepada media selepas Majlis 'Flag Of' (kibar bendera) Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Sempena Hari kemerdekaan Ke-62 di Perkarangan Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut hadir Dato' Bentara Dalam A Rahman Yahya dan Pengarah Penerangan Negeri, Encik Azahar Ismail.

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, anak Melayu yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) di seluruh negeri Terengganu berjumlah 530 pelajar.

"Di negeri Terengganu sahaja kita ada 530 orang anak Melayu yang belajar Bahasa Mandarin di sekolah-sekolah.

"Jadi kerajaan negeri memberi ruang kepada mereka untuk belajar di pusat tahfiz tersebut dan boleh mengambil SPM di situ." ujarnya.

Sumber: https://www.teganukita.net/2019/08/sekolah-tahfiz-berbahasa-mandarin.html

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo