NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penampilan Agong dalam pembinaan ulil amri


oleh: Subky Latif

BERIKUT tumbangnya institusi Khalifah Islam Turki terus memudar atau melenyapkan konsep ulil amri, satu sistem ketua negara/ketua kerajaan yang penting dalam politik dunia Islam.

Islam merakamkan institusi ulil amri itu adalah pemusatan kesetiaan Islam selepas Allah dan Rasul-Nya. Meskipun kesetiaan umat kepada ulil amri tidak mutlak seperti beriman kepada Allah dan Rasul, tetapi kepatuhan kepada ulil amri adalah penting dalam sistem pemerintahan Islam.

Hukuman tertinggi dalam Islam ialah Allah dan Rasul sedang perintah dan keputusan ulil amri sah pada sisi agama bergantung kepada kepatuhannya kepada kepada Allah dan Rasul. Sepanjang sejarah pemerintahan khalifah yang menjadi model pada pemerintahan Islam ialah tindakan dan keputusan yang diambil oleh Khalifah ar-Rasyidin yang empat: Abu Bakar As-Siddiq, Umar al-Khatab, Othman Affan dan Ali Abu Talib. Ada ulama memasukkan sama Umar Abdul Aziz.

Yang lain bergantung tepat dan tidaknya di sisi Islam. Maka pentadbiran mereka tidak jadi rujukan mutlak. Namun keputusan khalifah dan raja di bawah pmerintahan khalifah wajar dipatuhi oleh rakyat sekalipun pemerintahannya tidak adil seperti yang Islam mahu.

Apapun pilihan Islam ialah mahukan ulil amri yang adil. Jika khalifah termasuk dalam maksud ulil amri, tindakan Khalifah ar-Rasyidin tidak ditakwil, lain-lain ulil amri boleh ditakwil.

Justeru sistem ulil amri itu disebut selepas Allah dan Rasul, maka ulil amri itu suatu yang patut ada dalam dunia Islam. Soal konsesp itu pudar setelah penjajahan barat berkuasa di dunia dan lenyap setelah sitem khalifah hapus, tetapi ia adalah satu mutiara yang ada dalam Islam, maka wajar Islam memelihara kemuliaannya.

Apakah dalam pemakaian sistem raja berlembagaan dan dunia demokrasi, raja yang bukan ketua kerajaan sesuai konsep ulil amri dipraktikkan?

Sekalipun ada pemisahan kuasa antara ketua negara dan ketua kerajaan dalam wilayah mengamalkan raja perlembagaan, kekayaan pengetahuan dan ilmu yang ada di sisi Islam ada cara ia boleh diurus, ulil amri boleh dimartabat dalam pemakaian raja berperlembagaan sama seperti demokrasi releven dalam pentadbiran Islam atau Islam dapat menjadikan demokrasi sempurna dan indah.

Jika ulil amri dapat ditoleren dalam pemerintahan raja berperlembagaan, maka umat Islam wajar memartabatkannya sebagai satu institusi berdaulat selepas kita beriman kepada Allah dan Rasul.

Dalam dunia yang rakyat adalah berdaulat umat Islam mahu pemerintahan beraja yang mengikut kehendak ulil amri. Raja yang ulil amri dekat kepada Allah dan Rasul-Nya, dan ulil amri itu jauh ia dari gejala kezaliman dan perkara negatif.

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang baru dimahkotakan sebagai Yang di-Pertuan Agong dengan sikap yang mendekati rakyat, baginda selesa dengan rakyat dan rakyat selesa dengan baginda, boleh membangun diri sebagai ulil amri yang boleh memelihara kedaulatan Islam.

Ditambah pula dengan penampilan Raja Permaisuri Agong, nampaknya berjaya menjadi wanita yang diperlukan oleh seorang raja yang ulil amri. Baginda tampil dengan masyarakat Malaysia sebagai seorang yang beradab Islam, nescaya dapat membantu Yang di-Pertuan Agong menjadi seorang raja yang dikehendaki oleh Islam.



Agong memerlukun sokongan semua bagi menjadi raja yang dikehendaki Islam. Dengan sokongan Permaisuri Agong yang bersahaja itu, Agong tidak terhalang untuk menghidupkan keluarga Islam dalam istana kerana Permaisuri sudah tahu apa yang wajar seorang wanita diraja Islam.

Semua ini mudah bagi masa depan Malaysia memuliakan rajanya sebagai ulil amri dalam satu sistem Islam yang sempurna. – HARAKAHDAILY 7/8/2019

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo