NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Nasib Kashmir lebih teruk daripada Palestin: Mapim


Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 12 Zulhijjah 1440H, Selasa – Perkembangan terbaharu menyaksikan pembatalan Artikel 370 dalam Perlembagaan India – yang memansuhkan hak istimewa Kashmir – adalah sama dengan undang-undang negara Zionis yang disahkan pada tahun 2018 untuk menetapkan Israel sebagai negara orang Yahudi.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, dengan undang-undang rejim Israel itu, ia menafikan rakyat Palestin Arab sebagai orang yang asal di bumi Palestin. 

Undang-undang Israel itu, malah, bertujuan untuk menegakkan ketuanan Yahudi dan dasar aparteid kerajaan Israel, katanya.

"Manakala, mencabut Artikel 370 dari Perlembagaan India pula adalah untuk menguatkan ketuanan nasionalis Hindu terhadap majoriti muslim di Kashmir.

"Kini, warga Kashmir akan menghadapi prospek menjadi pendatang di tanah asal mereka sendiri apabila India mendefinisikan kewarganegaraan India hanya sah jika selaras dengan nasionalisme Hindu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, Kashmir juga akan mengalami kematian etnik dan agama secara perlahan oleh rejim India sama seperti kematian rakyat Palestin oleh rejim Israel dalam tempoh tujuh dekad.

"Pasukan keselamatan India sekarang bertindak sewenang-wenang untuk menimbulkan ketakutan kepada setiap warga Kashmir melalui serangan disasar kepada setiap rumah atas alasan tuduhan terlibat dengan keganasan.

"Tentera India dilihat menyerang rumah warga Kashmir dengan melemparkan batu ke tingkap rumah yang penduduknya terpaksa menjaga diri dengan selamat di dalam rumah kerana perintah berkurung 24 jam yang dikenakan di semua wilayah Jammu, Kashmir.

"Hanya menunggu masa sahaja apabila pembunuhan beramai-ramai akan dilancarkan oleh tentera India," katanya.

Mohd Azmi menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan itu, dan menyatakan bahawa Kashmir mengalami nasib yang lebih teruk daripada rakyat Palestin. 

Katanya, Gaza, sekurang-kurangnya boleh menentang di wilayah yang terkepung tetapi, warga Kashmir dikuasai dari dalam yang kini menjadi zon tentera tertinggi di dunia.

"Sekarang dianggarkan 1 tentera yang lengkap bersenjata menjaga 7 warga Kashmir, menyebabkan warga Kashmir tidak ada ruang untuk bergerak.

"Dunia sekarang menyaksikan pengulangan Nakbah dilancarkan di lebih banyak wilayah dan bahkan yang lebih kejam dan ganas jika seseorang mengambil kira senjata pembunuh moden di tangan para jeneral tentera yang bersedia untuk menggunakan senjata canggih untuk sasaran membunuh warga awam.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa, keputusan kini berada di tangan agensi antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"PBB harus bertanggungjawab kepada dunia atas kegagalannya menyelesaikan konflik. Melalui mandatnya, agensi yang diberi kuasa, Majlis Keselamatan PBB tidak berfungsi untuk tujuan yang sepatutnya iaitu untuk menjaga keamanan dunia.

"Sebaliknya ia kini telah menjadi platform negara-negara kuasa besar yang menggadai berjuta-juta nyawa manusia dengan kuasa veto oleh 5 anggota tetap dalam Majlis Keselamatan PBB," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo