NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dong Jiao Zong Memang Rasis


oleh: DATUK SERI HJ. MOHAMED KHALED NORDIN

13 Ogos 2019

1. Jarang saya sehaluan pandangan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tetapi kali ini saya bersetuju. Kenyataan beliau bahawa Dong Jiao Zong adalah pertubuhan rasis, sangat tepat dan berasas.

2. Inilah pandangan terpendam kebanyakan parti politik, pertubuhan, individu berpengaruh dan kebanyakan masyarakat Melayu. Sokongan kepada pandangan Tun Mahathir ini bersandarkan kepada beberapa alasan.

3. Pertama, kalau kita semak, selama berpuluh-puluh tahun, pendidikan Cina di negara ini dilaksanakan tanpa sebarang sekatan dari Kerajaan. Dari bahasa pengantar, kurikulum, kaedah pengajaran dan segala-galanya, semuanya tiada elemen nasional dan kepentingan watan. Semuanya adalah tentang pendidikan, budaya, citra dan aspirasi yang tidak selari dengan kemajmukan Malaysia. Sekali pun begitu, kerajaan tetap memberi muka. Dana dan infrastruktur dari kerajaan juga bertambah saban tahun.

4. Malangnya, baru sahaja Kerajaan ingin memperkenalkan setakat 6 muka surat pendidikan seni khat tulisan jawi dalam sukatan mata pelajaran bahasa Melayu, mereka melatah, melompat dan dengan pantas melabelkan ikhtiar tersebut sebagai usaha Islamisasi yang sistematik.

5. Ternyata mereka tidak memahami apa itu Islamisasi. Mereka hanya hidup dalam kepompong sendiri sehingga tiada secebis pun kefahaman tentang Islamisasi. Melabelkan pendidikan khat sebagai Islamisasi adalah kenyataan yang xenophobic, Islamofobik malah 'Melayufobik'.

6. Punca kepada penentangan melulu tersebut hanya satu - prejudis dan kebencian yang menebal kepada Islam, Melayu dan warisan negara.

7. Kedua, mereka lupa mereka tinggal di Malaysia - tempat yang mereka gelar tanah air secara berpilih-pilih dan bermusim. Negara ini adalah negara yang majmuk dengan multibudaya. Apakah sangat jelik untuk belajar tentang budaya dan tradisi bangsa lain sebanyak 6 lembar dalam tempoh 11 tahun tempoh sekolah kebangsaan? Sedangkan, manfaat besar latihan tanpa peperiksaan tersebut mampu membenih kefahaman tentang kemajmukan Malaysia yang meraikan kepelbagaian.

8. Ketiga, selama wujudnya Dong Jioa Zong ini, selama itulah saya tidak pernah mendengar sumbangan mereka ke arah mengukuhkan pendidikan nasional. Yang hanya mereka perjuangkan adalah pendidikan Cina dengan segala karakter kecinaannya. Bukan bersumberkan aspirasi nasional.

9. Tidak pernah kita dengar sebarang kompromi, toleransi mahupun solusi kepada pendidikan nasional. Yang ada, hanya kepentingan mereka yang langsung tidak boleh dibincangkan oleh bangsa lain. Jika tidak, timbullah hujah penindasan, hujah hak asasi, hujah demokrasi yang sekali lagi digunakan secara berpilih-pilih.

10. Terakhir, kepada mereka yang merasakan khat adalah sia-sia, ingatlah bahawa setiap ilmu itu, penting dan bernilai. Warisan negara tidak akan pernah hilang nilai dan kepentingannya.

11. Sarjana Oxford yang tersohor, Keith Thomas turut mengungkapkan betapa "The position of non STEM [science, technology, engineering, maths] subjects is seriously threatened."

12. Ini mengingatkan saya kepada amaran sarjana terkemuka Salters Sterling yang menyedarkan kita bahawa, "Any government worth its salt must be every bit as concerned with the humanities as with technologies."

13. Fahamilah bahawa pendidikan bukan tentang melahirkan robot dan jutawan semata-mata. Ia misi melahirkan insan terbaik untuk masyarakat dan negara.

14. Kita tidak mahu melahirkan pelajar yang hanya dikerah menghafal segala macam rumus dan fakta yang pelbagai tetapi sempit pemikiran dan kecil jiwanya. Kita ingin melahirkan manusia yang tidak hanya memikirkan markah dalam peperiksaan tetapi berani bermimpi mengejar pelangi.

Sumber: https://m.facebook.com/MohamedKhaledNordin/photos/a.425595558172/10156884448038173/?type=3&source=57

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo