NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Islam teras kewujudan institusi Raja


Oleh Dr Ismail Ibrahim

SEJARAH alam Melayu membuktikan bahawa Raja Melaka, Parameswara, memeluk Islam sebagai lambang pengislaman kerajaan Melayu dan permulaan sejarah negara di bawah naungan Raja Melayu. Prinsip perundangan dan pelaksanaan Islam selaras dengan adat istiadat Melayu yang sudah diterima berdekad-dekad lamanya di negara kita.

Seharusnya ia diambil sebagai satu kepunyaan rakyat semua kaum, kerana pelaksanaan Islam secara adil itu tidak pernah menyentuh hak dan kepentingan serta kebebasan beragama rakyat bukan Islam. Mengikut catatan sejarah juga, kerajaan Melaka pernah menerbitkan teks undang-undang yang bernama Risalah Hukum Kanun berasaskan undang-undang Islam mengenai perkahwinan, muamalat, keterangan, kehakiman dan jinayat.

Risalah ini adalah dokumen penting mengenai pelaksanaan Islam di dalam masyarakat Tanah Melayu, untuk menjamin kestabilan dan keadilan pemerintahan bagi masyarakat berbilang kaum yang sedia wujud pada ketika itu.

Kembali kepada sejarah juga ternyata beberapa negeri Melayu sudah menjadikan Islam sebagai dasar Perlembagaan negeri berkenaan, seperti dilakukan di Johor pada 1895 dan Terengganu pada 1911. Sejarah Tanah Melayu baharu, yang diberikan nama ‘Malaya’ oleh penjajah, juga memperlihatkan pengiktirafan yang sejati mengenai status agama Islam.

Ini berlaku ketika parti Perikatan mengemukakan memorandum kepada Lord Reid, Pengerusi Suruhanjaya Deraf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Perlembagaan Merdeka 1957) mencadangkan supaya Islam dijadikan agama negara Malaya dan sebagai balasannya yang adil maka prinsip ini tidak menyentuh hak warga negara bukan Islam untuk menganut agama mereka dengan aman dan harmoni.

Cadangan inilah yang diterima dan dimaktubkan di dalam Perlembagaan negara kita. Kesediaan dan komitmen tiga kaum terbesar Malaya ketika menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada Kerajaan British, iaitu mengenai kedudukan agama Islam dan kebebasan bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka dalam aman dan harmoni, adalah satu persefahaman asas yang menjadi prinsip pemerintahan negara ini.

Hal inilah juga menjadi satu pendirian bersama yang dapat ditafsirkan sebagai kontrak sosial dalam beragama di negara ini, di samping kontrak sosial di dalam aspek lain lagi, yang tidak saya sentuh di sini. Institusi Raja Melayu adalah institusi yang mempertahankan Islam di semua negeri dalam Malaysia kerana Raja-Raja, ketua agama Islam.

Istilah ‘Islam’ ini pula tidaklah seharusnya dipertikaikan sebagai amalan ritual semata-mata, iaitu satu konsep yang cuba disempitkan pentafsirannya oleh sesetengah golongan di dalam masyarakat kita. Adalah amat diharapkan proses dan usaha mempertingkatkan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia dan usaha mengemaskinikan latihan dan pengeluaran tenaga manusia yang berkemampuan di dalam pentadbiran agama akan dapat dilipatgandakan lagi untuk melahirkan institusi pentadbiran, kehakiman, pendidikan dan semua institusi agama yang lebih berwibawa dan cekap, sesuai dengan perkembangan negara yang pesat membangun.

Pendeknya, kedudukan Islam di Malaysia adalah satu teras kewujudan institusi Raja Melayu dan hal ini amat terserlah kepada dunia kerana Yang di-Pertuan Agong sendiri ketika mengangkat sumpah jawatan, antara lainnya berikrar akan mempertahankan agama Islam. Sebagai pemerintah tertinggi negara, ikrar yang dilafazkan ini amatlah bermakna sekali bagi rakyat dan negara.

Oleh itu, apabila Raja bertitah, maka tidaklah seharusnya akan timbul lagi sebarang gerakan melampau yang bertujuan mempolitikkan agama mengikut kepentingan peribadi atau kumpulan yang tertentu sehingga meletakkan Islam di persimpangan jalan yang berbahaya.

Kita dalam keadaan sekarang tidak memerlukan golongan pelampau, termasuk golongan pelampau di dalam agama, iaitu kumpulan pelampau agama dari semua agama yang diamalkan di Malaysia. Hal ini disebutkan kerana di dalam apa saja agama yang wujud di dalam dunia ini akan ada golongan pelampau dan fanatik melulu di dalam agama itu.

Golongan agama pelampau dan taasub inilah yang seharusnya kita lenyapkan daripada berleluasa di dalam negara kita yang selama ini berjaya menghayati kehidupan aman dan tenteram, penuh toleransi dan harmoni.

Dr Yusuf Al-Qaradhawi menjelaskan beberapa elemen di kalangan umat Islam sendiri yang melahirkan sikap ekstremisme, di antaranya ialah:

Kecetekan intelektual yang mengakibatkan krisis dalaman masyarakat Islam yang tidak dapat memberi fokus kepada masalah yang menjadi keutamaan dalam strategi perjuangan umat Islam dan penghayatan ajarannya.

Saya berpandangan bahawa, dalam era baharu pemerintahan negara ini, ruang untuk berbicara secara sihat dan mesra hendaklah terbuka di kalangan umat Islam sendiri dan di antara umat Islam dan bukan Islam dalam pemerintahan dan masyarakat pelbagai kaum negara kita.

Ini yang sepatutnya dapat dilakukan dalam isu perbezaan tanggapan dan tafsiran ini, terutama yang menyentuh masalah ijtihad dan perbezaan mazhab dalam perkara yang mempunyai bahagian yang luas, asalkan tidak menyentuh hal-hal yang teras dan fundamental.

Penulis adalah Bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo